KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa lebih 150,000 pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara memohon pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan MPOB, Dr Ramle Moslim berkata, ini berikutan sehingga kini, hanya 25.5 peratus daripada 250,000 pekebun kecil sawit persendirian yang memperoleh pensijilan tersebut.
Katanya sijil MSPO amat penting untuk memastikan komoditi yang dihasilkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh negara maju terutamanya di Eropah.
“Apabila mereka tidak mendaftar dan tidak mendapat pensijilan MSPO, kemungkinan besar mereka tidak akan dapat memperbaharui lesen mereka.
“Selain itu, mereka juga mungkin hanya dapat menjual buah sawit dengan harga yang rendah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari Bersama Editor di sini semalam.
Ramle berkata, terdapat segelintir pekebun kecil sawit yang masih kurang kesedaran mengenai pensijilan MSPO walaupun pelbagai kempen telah diadakan mengenainya selain mereka menghadapi masalah dari segi logistik untuk memohon pensijilan tersebut.
“Mereka hanya perlu mendaftar untuk mendapat pensijilan MSPO dan MPOB akan membantu dari segi latihan, peralatan dan sebagainya dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan sehingga mereka mendapat sijil itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (gambar) berkata, pensijilan MSPO telah dilaksanakan secara mandatori bagi pekebun kecil bermula 1 Julai 2020 dan akan mula mengeluarkan kompaun kepada mereka yang tidak mempunyai sijil tersebut pada 1 Julai 2021.
“Pada 1 Januari 2022, kita akan mula mengambil tindakan sehingga pada tahap kita tarik lesen mereka. Apabila lesen ditarik dan tidak dapat diperbaharui, mereka sudah tidak boleh menjual buah (sawit).
“Oleh itu, kami merayu supaya mereka datang dan berusaha mencari MPOB untuk mendaftar dan kami akan membantu mereka untuk mendapatkan sijil MSPO,” katanya.- Bernama