
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meneroka peluang kerjasama dengan Hungary dalam usaha memajukan sukan para tanah air, terutama meningkatkan program akar umbi.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata antara inti pati kolaborasi yang akan dilakukan adalah mempelajari cara Hungary sebagai negara berpengalaman dalam pencarian bakat baharu dengan cara yang efisien.
Megat D. Shahriman berkata kolaborasi itu juga tertumpu untuk menerokai diplomasi sukan yang diaplikasikan oleh negara-negara Eropah menerusi Hungary, selain pertukaran atlet para negara melalui ‘pelancongan sukan’.
“Alhamdulillah, Duta Hungary datang ke MPM melawat fasiliti. Kita adakan hubungan dua negara dan atlet para kita akan ke negara mereka. Ini adalah langkah pertama bagi tahun 2025.
“Paling penting adalah diplomasi dalam sukan. Saya percaya kita boleh belajar daripada pihak Hungary, mereka mempunyai akademi kejurulatihan, persatuan dan juga pemilihan bakat,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan Duta Besar Hungary Dr. Petra Ponevacs-Pana ke MPM di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Malaysia di sini hari ini.
Megat D. Shahriman berkata MPM juga tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan sukan teqball yang diasaskan oleh negara itu sejak tahun 2014, dengan mempelajari secara lebih mendalam mengenai sukan itu.
Terdahulu, sesi lawatan itu turut menyaksikan MPM yang diwakili Setiausaha Agung Datuk Subramaniam Raman membentangkan latar belakang majlis berkenaan, selain Ponevacs-Pana turut memperkenalkan kejayaan yang dikecapi Hungary sejak tahun 1972. — Bernama