
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dipilih sebagai tuan rumah bagi Kursus Teknikal Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Zon Borneo 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 1 hingga 3 Julai 2025.
Kursus anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menghimpunkan seramai 31 peserta daripada 26 PBT di Sarawak dan Sabah, bertujuan meningkatkan pengetahuan dan keupayaan teknikal pegawai penguat kuasa dalam aspek pemeriksaan serta penilaian kebersihan premis makanan.
Program yang diadakan di Bilik Latihan MPKS itu meliputi pelbagai sesi berkaitan aspek keselamatan makanan, faktor risiko dalam pengendalian makanan serta garis panduan penggredan premis makanan yang digunapakai di kawasan PBT.
Pada hari pertama, peserta diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Kanan KPKT, Tuan Hasnainin Hassan yang turut berkongsi visi dan hala tuju kementerian dalam memperkasakan kualiti perkhidmatan di peringkat tempatan.
Sesi praktikal pemeriksaan premis makanan di lokasi sebenar turut dijalankan pada hari kedua di Aiman Mall, memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan secara langsung di lapangan.
Kursus selama tiga hari itu diakhiri dengan sesi pembentangan kumpulan berdasarkan penilaian sepanjang program, sebelum disusuli Majlis Penutupan Rasmi yang disempurnakan oleh Pengerusi MPKS, Kr. Abang Ismawi Abang Ali.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kanan KPKT, Tuan Hasnainin Hassan dan Setiausaha Perbandaran MPKS, En. Gustian Durani.
Kursus ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan dan kebersihan premis makanan sentiasa berada pada tahap tertinggi, sejajar dengan usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan pengguna.
Oleh Norman B.