
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti setempat apabila menyerahkan buku-buku terpakai kepada lapan sekolah di kawasan ini hari ini.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Sopian Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Tetap (JKT) Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MPKS.
Antara sekolah yang menerima sumbangan ialah SJK Chung Hua Jemukan, SJK Chung Hua Siburan, SK Dato Traoh, SK Pangkalan Kuap, SK Sampun Kelili, SK Tebun, SK Mang, dan SK Sungai Bulu, Senangeh.
Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif MPKS untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar serta menyokong usaha pendidikan di peringkat sekolah. Usaha ini juga bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu dan menanam semangat prihatin terhadap komuniti melalui sumbangan bahan bacaan yang bermanfaat.
Selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan, program ini turut mencerminkan semangat kebersamaan serta kepedulian sosial MPKS terhadap pembangunan komuniti setempat, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembentukan generasi berilmu.
MPKS berharap inisiatif ini akan memberi manfaat kepada warga sekolah dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang.
Oleh Norman B