

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menjalankan pemantauan susulan berikutan aduan kejadian banjir kilat yang berlaku hari ini, melibatkan beberapa kawasan termasuk Taman Desa Ilmu, Taman I-Mas Village dan Pusat Penjaja Jambatan Batang Sadong.
Selain itu, tindakan segera turut diambil berhubung kejadian pokok tumbang yang dilaporkan di Taman Samarindah bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan kelancaran laluan awam.
Pasukan LA Serve bersama Bahagian Kejuruteraan MPKS telah turun ke lokasi terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok tumbang, di samping menjalankan pemeriksaan terhadap sistem perparitan bagi memastikan aliran air berada dalam keadaan lancar.
Menurut MPKS, keadaan setakat ini adalah terkawal selepas hujan reda dan tiada limpahan air dilaporkan di kawasan terjejas.
Majlis akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa serta menasihatkan orang ramai agar menyalurkan sebarang aduan berkaitan perkhidmatan Majlis dan kejadian banjir untuk tindakan lanjut.
MPKS turut memaklumkan bahawa isu aliran keluar parit yang perlahan dikenal pasti berpunca daripada jumlah air hujan yang tinggi, dan pihaknya akan berhubung dengan agensi berkaitan bagi menangani perkara tersebut secara menyeluruh.
Oleh Shikin Mahmud