MPKS pantau aduan pembuangan sampah haram di tanah persendirian

Facebook
WhatsApp
PEMANTAUAN…Wakil MPKS bersama pihak berkaitan ketika mengadakan lawatan tapak susulan aduan pembuangan sampah secara haram di sebuah tanah persendirian di Kota Samarahan. Foto MPKS

KOTA SAMARAHAN, 7 Oktober: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengambil tindakan susulan terhadap aduan pembuangan sampah secara haram di sebuah tapak tanah persendirian dengan menjalankan lawatan serta pemantauan di lokasi berkenaan.

Lawatan tapak itu melibatkan MPKS, pemilik tanah dan Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bagi meninjau keadaan kawasan serta mengenal pasti langkah penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Hasil lawatan dan perbincangan, pemilik tanah bersetuju mengambil beberapa tindakan bagi mengelakkan kegiatan pembuangan sampah terus berlaku di kawasan tersebut.

Antara tindakan yang akan dilaksanakan ialah menutup jalan lorong yang menjadi akses ke kawasan berkenaan serta memasang papan tanda amaran larangan membuang sampah.

Pemilik tanah juga akan menjalankan kerja pembersihan dan pengalihan sampah yang telah dibuang di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, MPKS akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan yang dipersetujui dilaksanakan dengan baik mengikut tempoh ditetapkan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuang sampah secara haram atau di lokasi yang tidak dibenarkan kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kebersihan, kesihatan awam serta kualiti persekitaran.

Kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan masalah pembuangan sampah dapat ditangani secara berkesan, sekali gus memastikan kawasan di bawah pentadbiran MPKS kekal bersih dan terpelihara.

Turut hadir Timbalan Pengerusi MPKS, Kr Daily Joseph; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Persekitaran, Kr Aziz Mohamad; beberapa ahli majlis serta pegawai MPKS.