
KOTA SAMARAHAN: Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah mengeluarkan notis amaran kepada pemilik kenderaan yang dikenal pasti sebagai kenderaan terbiar di sekitar kawasan Pasar Sadong Jaya.
Menurut kenyataan media MPKS, tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak majlis untuk memastikan kebersihan, keselamatan dan kelancaran persekitaran awam terjamin.
Pemilik kenderaan yang menerima notis diberi tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk mengalihkan kenderaan masing-masing.
MPKS menegaskan bahawa sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan yang dinyatakan, pihak majlis berhak mengambil tindakan sitaan terhadap kenderaan terbabit.

Kenyataan itu berkata, tindakan ini penting bagi mengelakkan gangguan lalu lintas dan memastikan kawasan pasar sentiasa kemas dan selamat untuk semua pengunjung.
Orang awam juga diingatkan supaya tidak meninggalkan kenderaan mereka dalam keadaan terbiar kerana ia boleh menjejaskan imej kawasan bandar serta menimbulkan risiko keselamatan.
MPKS menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama masyarakat dalam mematuhi peraturan dan membantu menjaga keteraturan bandar.
Dengan langkah ini, MPKS berharap persekitaran Pasar Sadong Jaya akan lebih teratur, selamat, dan selesa untuk didiami serta dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.
Oleh Adi Safarman