ISU menarik sejak kebelakangan ini ialah peralihan sokongan empat Ahli Parlimen yang menyaksikan kelompongan pada Akta Anti Lompat Parti yang mula berkuat kuasa Oktober tahun lalu. Mungkin ia ada kaitan dengan peruntukan untuk Ahli Parlimen. Satu lagi isu ialah bonus untuk kakitangan awam Sarawak.
Bonus hujung tahun?
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersidang pada 20 hingga 29 November ini, dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan Belanjawan 2024 bagi Sarawak.
Sudah tentu banyak perkara menarik dijangka diumumkan, tetapi bagi kakitangan awam yang berkhidmat di bumi bertuah ini, mereka pasti menunggu pengumuman bonus.
Pada April lalu iaitu menjelang sambutan Aidilfitri ketika orang ramai mengeluh tiada bonus raya, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak hanya akan memberikan bantuan kewangan atau bonus kepada penjawat awam negeri ini pada hujung tahun. Katanya, bantuan kewangan itu tidak diberikan mengikut perayaan tertentu termasuk semasa Aidilfitri.
“Sarawak merupakan negeri yang meraikan banyak perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Aidilfitri, jadi kita perlu adil kepada semua perayaan. Oleh itu, pada hujung tahun nanti baru kita beri (bantuan kewangan atau bonus) supaya dapat bantu ibu bapa berbelanja bagi keperluan pembukaan sekolah anak-anak mereka. Sekolah lebih penting, sebab itu saya beri bonus pada hujung tahun,” katanya.
Pada 1 Disember tahun lalu, ketika menggulung perbahasan Bajet 2023 Sarawak pada sidang DUN, Abang Johari mengumumkan bayaran insentif khas satu setengah bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini. Beliau turut mengumumkan bayaran insentif khas sebanyak RM500 untuk kira-kira 137,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
Kita sama-sama tunggu jika ada berita baik hujung bulan ini. Harap bagi rakyat biasa yang bukan kakitangan awam, akan juga dapat khabar gembira dalam apa juga bentuk bantuan ketika rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup.
BERSATU perlu salah sendiri
ANDAI tiada Akta Anti Lompat Parti yang mula berkuasa pada 5 Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya empat pilihan raya kecil (PRK) diadakan sekarang, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) November lalu.
Namun, tindakan empat Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mewajibkan kerusi perlu dikosongkan, kerana mereka tidak keluar dari parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Dalam hal ini, BERSATU perlu menyalahkan diri sendiri kerana tindakan beberapa pemimpinnya yang menolak satu peruntukan dalam draf asal akta anti lompat parti sebelum ia dikuatkuasakan. Draf asal itu mencadangkan, sekiranya mana-mana Ahli Parlimen melanggar pendirian dan prinsip parti serta gagal mengikut pendirian parti di Dewan Rakyat, individu itu dikira melanggar undang-undang dan perlu mengosongkan kerusi disandang.
Namun, menteri dan wakil rakyat BERSATU dikatakan menolak cadangan asal yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung klausa ‘wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di parlimen’.
Kelmarin, Wan Junaidi menasihatkan semua pihak tidak menuding jari atas kelompongan Akta Lompat Parti kerana semua parti sedia mengetahui ‘kelemahannya.’ Beliau merujuk peruntukan ‘wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen’ yang ditolak.
Wan Junaidi berkata, beliau telah meramalkan apa yang akan berlaku semasa akta itu sedang dirangka dan bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.
“Jawatankuasa pemilihan berbincang hampir dua bulan, maka RUU (Akta Lompat Parti) dapat (diluluskan) tapi dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip digubal, digugurkan berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat.
“Jadi kalau Perikatan Nasional (PN) tak sokong, dua pertiga tak dapat dicapai. Kerana itulah RUU sekarang dikatakan ada kelemahan, bukan kerana jawatankuasa tak tahu. Kita tahu, sudah diberi amaran awal-awal lagi dari September 2021,” katanya seperti dilaporkan Buletin Awani.
Pada 9 November lalu, Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN dan Presiden BERSATU mendakwa undang-undang lompat parti sebagai cacat dan perlu dikaji semula. Katanya, terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi parti politik. Hakikatnya, kenyataan ini bagaikan ‘nasi dah jadi bubur’.
Empat Ahli Parlimen PN dari BERSATU yang mengalih sokongan itu ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Untuk rekod, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan adalah pindaan baharu untuk menghalang Ahli Parlimen bertukar parti. Peruntukan itu digubal dalam dua bahagian, Perkara 49A (1) dan Perkara 49A (2). Perkara 49A (2) memberi tiga pengecualian, iaitu sekiranya parti Ahli Parlimen itu dibatalkan, manakala kedua, jika seseorang Ahli Parlimen meletak jawatan atau keluar parti kerana dipilih menjadi Speaker Dewan dan ketiga, dipecat daripada parti politik.
Tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU itu menyebabkan parti berkenaan tersekat kerana jika dipecat keahlian parti, mereka masih kekal sebagai Ahli Parlimen disebabkan klausa dua.
Kalau tidak lompat parti, tetapi mengisytiharkan sokongan kepada orang lain sebagai Perdana Menteri yang berlainan dengan keputusan parti, maka ia adalah okay. Apa yang boleh dilakukan oleh parti? Parti BERSATU ketika ini juga tidak dapat berbuat apa-apa.
“Sekarang ini, Ahli Parlimen ini akan jadi Ahli Parlimen zombie. Maknanya BERSATU tak boleh pecat, mereka tak boleh sertai BN-PH atau PN, dia hidup macam Zombie dan akan dapat peruntukan,” kata bekas menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin.
Selepas ini, empat Ahli Parlimen itu kemungkinan besar akan diberikan peruntukan oleh Kerajaan Perpaduan, ketika Ahli Parlimen pembangkang lain masih ‘terkapai-kapai’ mendesak diberi peruntukan. Terpulang kepada pengundi di kawasan terbabit mahu menghukum mereka atau sebaliknya pada PRU-16 akan datang.
Untungnya jadi YB GPS
SELAIN peruntukan terus dari Kerajaan Pusat iaitu peruntukan RM1 juta setahun atas nama Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk setiap Ahli Parlimen kerajaan, wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menerima peruntukan RM1 juta setahun pemberian kerajaan negeri.
Namun, peruntukan untuk Ahli Parlimen GPS itu, cuma separuh daripada peruntukan untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Setiap ADUN GPS di negeri ini diberi peruntukan RM2 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan masing-masing.
Ini belum termasuk Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) yang diperuntukkan kepada setiap ADUN sebanyak RM5 juta seorang khusus untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding dengan Ahli Parlimen yang mendapat hanya RM2.5 juta untuk dua atau tiga kawasan DUN.
Keadaan itu menyebabkan ADUN GPS kelihatan ‘lebih pemurah’ berbanding Ahli Parlimen GPS, yang sesetengahnya terpaksa membahagikan peruntukan tahunan RM1 juta kepada dua atau tiga kawasan DUN dalam kawasan Parlimen masing-masing, sedangkan ADUN boleh mencurah semua RM2 juta setahun itu untuk satu kawasan DUNnya sahaja.
Dalam hal ini, kerajaan GPS perlu mengkaji semula untuk menambah peruntukan kerana kawasan yang ‘dijaga’ agak besar apatah lagi ada tiga kerusi DUN dalam satu kawasan Parlimen. Ini untuk kebaikan kedua-dua Ahli Parlimen dan ADUN itu sendiri, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat yang diwakili.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.