LAGU ‘hoi hoi ya hoi’, sudah tidak perlu diulangi terutama oleh penyokong Pakatan Harapan (PH). Begitu juga ungkapan ‘No Anwar’, ‘No DAP’, juga tidak perlu dibangkitkan lagi oleh penyokong UMNO.
Ini kerana lagu itu dan ungkapan yang saling menyindir lawan, sudah tidak relevan setelah Barisan Nasional (BN) / UMNO bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
Lagu ‘hoi hoi ya hoi’ siapa sokong penyamun’ menjadi dendangan pimpinan PH sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama dulu. Firasat ayat dalam lirik lagu itu adalah sebahagian lagu Ali Baba Bujang Lapok, ketika 40 penyamun berarak, sambil menyanyikannya.
‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ pula adalah usul Perhimpunan Agung UMNO 2021, bertujuan menghalang mana-mana pemimpin UMNO daripada mengadakan kerjasama politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ataupun mana-mana kerajaan negeri.
Kini, Kerajaan Perpaduan sudah terbentuk merangkumi PH termasuk DAP, BN termasuk UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Itulah dunia politik. Lawan boleh jadi kawan dan sebaliknya.
Tidak mengapa masa berkempen, biarlah berdentam-dentum ucapan, tetapi selepas berakhirnya PRU-15, ‘dentuman, gegaran’ sudah tidak perlu. Sudah hampir lima tahun rakyat ‘disajikan’ dengan berita politik yang sentiasa panas sepanjang masa, rakyat sudah bosan.
Sekarang PRU-15 sudah berakhir. Perdana Menteri baharu sudah dilantik. Kabinet baharu sudah diumum. Semua sudah mengangkat sumpah.
Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh juga sudah terlaksana.
Kurangkan permainan politik.
Sama ada kita suka atau tidak, kita kena ‘move on’. Ekonomi dunia tahun depan dijangka lebih mencabar. Rentetan cengkaman pandemik Covid-19 sebelum ini, semakin dirasai hingga syarikat gergasi di beberapa negara terpaksa membuang ribuan pekerja.
Di dalam negara, kos sara hidup kian naik, trend kenaikan harga barangan turut dirasai, hingga memeritkan rakyat kalangan B40.
Dalam senario seperti ini, sudah tidak ada masa untuk ‘politiking’ yang keterluan apatah lagi berterusan untuk 2023.
Dengan sokongan padu majoriti 148 Ahli Parlimen atau dua pertiga, sepatutnya melancarkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas ini.
Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang perlu memainkan peranan sebagai pembangkang dalam erti kata sebenar… untuk ‘check & balance’. Tidak perlu lagi mempersoalkan keabsahan Perdana Menteri atau menyindir sebagai kerajaan minoriti.
Benar, tiada parti atau mana-mana gabungan gagal membentuk kerajaan selepas PRU-15, tetapi gabungan diterajui Kerajaan Perpaduan sudah melepasi bukan sahaja majoriti kecil, tetapi majoriti dua pertiga, satu kedudukan yang boleh meminda perlembagaan, jika mahu.
Kegagalan Perikatan Nasional meminta dilaksanakan undi berbelah bahagi bagi menolak usul undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah bukti nyata yang mereka cuma ada angka 74, bukan 115 seperti diuar-uarkan sebelum ini.
Angka 115 itu dikatakan sudah ada akuan bersumpah (SD) seperti didakwa oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Hakikatnya, selepas Akta Anti Lompat Parti diluluskan, SD secara individu tidak lagi terpakai untuk sokongan pembentukan kerajaan baharu. Sebaliknya sokongan secara blok adalah sah dan digunakan bagi tujuan pembentukan kerajaan.
Tumpu isu rakyat
Oleh itu, keabsahan Perdana Menteri penting supaya selepas ini, tiada lagi timbul isu sokongan. Keabsahan ini juga membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang membelenggu rakyat.
Seperti kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa sekarang sudah ada ruang untuk menumpukan perhatian setelah ada kestabilan politik dan menumpukan perhatian untuk menjana ekonomi yang lebih meyakinkan.
Ini perlu dilakukan Anwar yang juga perlu mengubah sedikit ‘gaya pembangkang’ termasuk soal saman menyaman.
Ketepikan segala retorik politik. Tumpukan masa lima tahun akan datang untuk ‘memuaskan’ hati rakyat. Walaupun mustahil memuaskan hati semua, sekurang-kurangnya sebahagian besar masalah atau isu membelenggu rakyat selama ini diselesaikan.
Bagi rakyat Sarawak, selain isu umum seperti kenaikan kos sara hidup, kekurangan pembangunan infrastruktur, masalah jalan raya, jaringan internet, isu yang ditunggu-tunggu ialah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Betul Anwar sudah mengarahkan timbalannya, Dato Sri Fadillah Yusof untuk fokus kepada isu MA63, tetapi ada isu yang Perdana Menteri boleh segerakan. Ini termasuk Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian geran khas dan wakil dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN). Malah, kerajaan Sarawak sudah pun menghantar nama untuk duduk dalam LHDN ini tetapi hingga kini belum diputuskan.
Mengapa perlu pemberian geran khas?
Ini bagi membolehkan formula munasabah bagi peruntukan geran khas tahunan. Berikutan pindaan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022, sekali gus menukar status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah, bukan lagi setaraf seperti negeri lain.
Dengan itu, hasil pendapatan negara perlu diagih secara adil kepada tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Contoh, jika pendapatan tahunan Malaysia RM600 bilion, maka setiap wilayah diagihkan sama rata RM200 bilion.
Mengapa perlu ada wakil dalam LHDN?
Kabinet persekutuan pada mesyuarat 30 September 2022 meluluskan cadangan untuk meminda Akta LHDN 1995 bagi membolehkan wakil Kerajaan Sarawak dan Sabah menduduki keanggotaan lembaga pengarahnya.
Perkara ini berbalik kepada fakta berkaitan geran khas tahunan tadi. Bila Sarawak dan Sabah ada wakil dalam LHDN, maka kedua-dua wilayah ini akan tahu berapa hasil pendapatan sebenar negara bagi memudahkan agihan hasil itu kepada tiga wilayah.
Apakah Perdana Menteri menunggu lagi lima tahun atau menjelang PRU-16 nanti untuk meluluskan dua perkara yang boleh disegerakan ini?
Jadi bab ini pun kena ‘move on’ juga. Jangan dijadikan seperti kereta boleh dialih ke tepi jalan… itu namanya ‘move aside’.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak