
MANCHESTER: Manchester United meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam tadi hasil jaringan Mason Mount dan Benjamin Sesko.
Kemenangan itu sedikit sebanyak meredakan tekanan ke atas pengendali United, Ruben Amorim susulan permulaan hambar pasukan musim ini.
Mount membuka tirai jaringan seawal babak pertama menerusi penyudah kemas, sebelum Sesko meledak gol pertamanya di Old Trafford pada minit ke-31 untuk menggandakan kelebihan tuan rumah.
Bruno Fernandes hampir menambah jaringan namun dinafikan aksi cemerlang penjaga gol Sunderland, Robin Roefs.
Pelawat seakan mendapat peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti sebelum rehat, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Babak kedua menyaksikan United selesa mengawal tempo permainan dengan Sunderland gagal mencipta ancaman berbahaya, sekali gus memastikan kemenangan ketiga skuad The Red Devils di laman sendiri musim ini.-Agensi.