
MELAKA: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) meneruskan usaha memperkukuh kerjasama strategik dengan Akademi Laut Malaysia (ALAM) dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan maritim, khususnya bagi anak Sarawak.
Delegasi rasmi diketuai oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin bersama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep. Turut serta, Setiausaha Tetap MOTS, Datu Wong Hee Sieng; Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLMWS), Bianus Muyou; serta pegawai daripada MOTS, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) dan Lembaga Boya dan Api Sarawak (BLB).
Lawatan kerja ini termasuk tinjauan ke Pusat Simulasi dan Komunikasi Maritim ALAM yang dilengkapi dengan teknologi canggih seperti Simulator Pengendalian Kapal Misi Penuh, Bilik Enjin Misi Penuh dan Simulator Operasi Kargo Cecair. Fasiliti berteknologi tinggi itu mampu memberikan gambaran realistik suasana pelayaran moden, sekali gus meningkatkan keupayaan pelatih menghadapi cabaran industri.

Sejak penubuhannya 49 tahun lalu, ALAM telah melahirkan lebih 15,000 profesional maritim dari 20 negara. Institusi ini menawarkan pelbagai program diploma, antaranya Pengajian Nautika, Kejuruteraan Marin serta program baharu dalam Pengurusan Maritim, Logistik dan bidang berkaitan pesisiran.
Dalam era pasca-pandemik, ALAM turut membentuk pakatan strategik dengan universiti tempatan, antarabangsa serta pemain industri global bagi memperkayakan kurikulum dan memperluas pendedahan industri kepada pelajarnya. Akademi ini juga berhasrat memperoleh status Kolej Universiti menjelang Disember tahun hadapan.
Kerjasama antara MOTS dan ALAM dijangka membuka lebih banyak peluang kepada belia Sarawak mengikuti latihan maritim bertaraf antarabangsa. Langkah ini diyakini mampu melahirkan generasi profesional maritim berkemahiran tinggi serta memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor pengangkutan dan industri laut negara.
Oleh Norman B