BINTULU: Taman trafik sedia ada di Sarawak perlu dimanfaatkan dan permainan trafik wajar diwujudkan semula dengan melibatkan lebih banyak penyertaan daripada agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, hasil tinjauan dilakukan dalam kalangan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru, kebanyakan mereka merasakan permainan lalu lintas adalah satu aktiviti pendidikan yang sangat baik untuk mendidik generasi muda pengguna jalan raya.
“Maklum balas daripada peserta permainan trafik sebelum ini sangat positif, justeru keputusan menghidupkan semula permainan itu adalah wajar.
“Taman Trafik Bintulu juga memerlukan banyak kerja-kerja baik pulih berdasarkan tinjauan yang dilakukan.
“Terdapat banyak kerosakan di taman tersebut yang perlu diperbaiki sebelum dapat dibuka semula.
“Jadi hari ini, saya membuat tinjauan dan terdapat banyak benda atau kerosakan yang perlu diperbaiki, misalnya perparitan yang telah rosak,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke Taman Trafik Bintulu di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MoTS) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak (MKJR) akan membantu dari segi pengelolaan program permainan trafik sebagai langkah memberi pendedahan mengenai keselamatan jalan raya kepada golongan pelajar.
“Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah membuat satu anggaran, tetapi dari segi pengelolaan, kementerian saya dan majlis keselamatan jalan raya sarawak akan berusaha mendapatkan peralatan untuk menganjurkan pertandingan lalu lintas seperti basikal, kereta dan sebagainya,” jelas Kim Shin.
Namun, setakat ini, tambahnya, peruntukan untuk kerja baik pulih tersebut belum ada dan pihaknya akan melakukan satu kajian berhubung perkara tersebut.
Permainan trafik dimulakan sebagai Permainan Trafik Shell di Sarawak pada 1963 dan diadakan setiap tahun dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan disertai sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Kali terakhir pertandingan dan permainan lalu lintas Shell ini diadakan pada 2013.
Ketika ditanya sama ada MoTS bekerjasama dengan Shell Malaysia, Lee berkata disebabkan komitmen korporat lain, Shell tidak dapat menganjurkan acara itu namun tetap menzahirkan sokongan mereka terhadap usaha penganjuran semula program tersebut.
Bercakap kepada pemberita ketika tinjauan ke Taman Trafik Miri di Taman Bulatan semalam, Lee memberitahu, di seluruh Sarawak terdapat sebanyak enam taman trafik iaitu di Kuching, Sibu, Sri Aman, Bintulu, Sarikei dan Miri.
Oleh Carolyne Utih