

MIRI: Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran kawasan Petronas Lutong, tengah hari tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Lutong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.55 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan anggota bersama jentera FRT Scania dikerahkan ke lokasi yang terletak sekitar tujuh kilometer dari balai. Jentera tiba pada 1.03 petang dan operasi menyelamat dimulakan seminit kemudian.
Komander Operasi memaklumkan mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam longkang besar. Pasukan bomba dengan kerjasama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengeluarkan mangsa dari longkang berkenaan.
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal dalam tempoh singkat dan ditamatkan pada 1.06 petang.
Difahamkan, mangsa menunggang motosikal jenis SYM 110 ketika kejadian.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota polis serta tiga petugas ambulans.
Oleh Adum Liu