Ba’Kelalan: Sektor pelancongan terutamanya ekopelancongan masih memainkan peranan penting kepada pendapatan ekonomi negara ketika berada dalam situasi pandemik Covid-19 di peringkat global.
Pandemik ini telah menyebabkan kerugian disebabkan pengurangan hasil pendapatan negara terutamanya kepada sektor pelancongan yang menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada 2019, industri pelancongan negara telah menyumbang sebanyak RM86.14 bilion dan pembatalan Tahun Melawat Malaysia 2020 telah menjejaskan pendapatan negara di mana setakat Jun 2020, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian sekitar RM 45 bilion.
Melihat bagaimana industri pelancongan domestik dapat dipergiatkan ketika aktiviti pelancongan ke luar negara di kalangan rakyat Malaysia sedikit terjejas, MOTAC memainkan peranan utama bukan sahaja setakat mempromosikan pelancongan setempat malah memberi tumpuan khusus kepada langkah mengetengahkan pelbagai insentif dan pakej pelancongan baharu yang dapat diusahakan oleh sesebuah komuniti.
Sehubungan itu, industri pelancongan domestik oleh komuniti setempat dilihat mampu menjadi alternatif sampingan kepada pelancong luar negeri dan salah satu tarikan terkenal ekopelancongan tanah tinggi terletak di Ba’Kelalan.
Ba’Kelalan di Bahagian Lawas bukan sahaja terkenal dengan suasana tanah tinggi yang menepati ciri-ciri industri ekopelancongan malah industri sedia ada di sana boleh dijana ke satu tahap yang bakal mendatangkan pulangan lebih menguntungkan melalui perlaksanaan pelbagai inisiatif yang diambil oleh MOTAC bersama komuniti setempat.
Tarikan pelancongan yang terdapat di sini antaranya penghasilan Beras Adan termasuk demonstrasi menanam padi, proses menghasilkan garam bukit dan inap desa yang menjanjikan suasana amat unik di Owl House Homestay di mana penggemar burung berpeluang untuk melakukan aktiviti memerhati pelbagai spesis burung.
Ketika lawatan kerjanya ke Ba’Kelalan baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan pelbagai inisiatif dan insentif tambahan dilaksanakan untuk merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan tersebut.
Menurut Nancy, usaha pihak kementerian untuk Ba’Kelalan tertumpu kepada perusahaan garam bukit dan salah satu permohonan lokasi untuk penghasilan produk tersebut telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM 88 ribu dan ini juga bertujuan untuk merancakkan ekonomi setempat.
Selain daripada peruntukan yang telah diluluskan, MOTAC akan turut menerima permohonan lain yang berskala besar pada masa hadapan dan akan dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Untuk tujuan pemasaran produk Ba’Kelalan melalui platform digital pula, Kraftangan Malaysia yang merupakan agensi di bawah MOTAC selama ini telah menyediakan perkhidmatan E-Kraf Bazar manakala Craft On The Go menyediakan perkhidmatan secara geolokasi mengandungi maklumat produk usahawan kraftangan dan maklumat media sosial usahawan serta lokasi yang boleh diakses terus melalui aplikasi Google Maps.
Bagi memperbanyakkan variasi produk yang boleh dipasarkan oleh masyarakat setempat, perusahaan batik juga boleh diterokai di mana pihak Kraftangan Malaysia telah mengadakan demonstrasi dan tunjuk ajar proses pembuatan batik kepada komuniti di sana.
PERLUAS PRODUK KELUARAN BAHARU
MOTAC sendiri berhasrat untuk memperluaskan produk kraftangan baharu seperti batik yang bermotifkan corak peribumi di setiap lokasi pelancongan pelancongan khususnya di Ba’Kelalan.
Untuk rekod, sehingga 31 Julai 2020, 1036 usahawan kraftangan Sarawak telah berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia membabitkan seramai 753 tenaga kerja dan 2054 ahli komuniti kraftangan di mana nilai jualan yang berjaya dijana di negeri ini berjumlah RM 8.3 juta.
Tidak dinafikan juga, pengangkutan udara turut memainkan peranan penting untuk menghubungkan Ba’Kelalan dengan bandar-bandar utama di negeri ini selain daripada menggunakan pengangkutan darat dari Lawas yang melalui perjalanan sekitar 140 km dengan tempoh hampir empat jam.
MOTAC telah melihat masalah ini sebagai kekangan kepada industri pelancongan setempat dan bagi memperbanyakkan lagi akses melalui pengangkutan udara, pihak kementerian merancang untuk mengadakan perbincangan bersama beberapa syarikat penerbangan supaya pakej penerbangan yang lebih fleksibiliti dapat diadakan ke kawasan tesebut.
Justeru, melalui pelbagai usaha kerajaan terutamanya melalui MOTAC ketika ini, Ba’Kelalan dilihat amat berkeupayaan untuk dijadikan produk ekopelancongan yang berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.
Dalam lawatan kerja tersebut, beliau berkesempatan mengadakan lawatan ke Owl House Homestay, lokasi penghasilan garam bukit di Salt Spring Puneng, Botanical Park SK Ba’Kelalan, pameran kraf tangan dan menghadiri demonstrasi serta mencuba sendiri menanam padi yang menghasilkan Beras Adan sebelum menghadiri majlis bersama masyarakat setempat pada sebelah malamnya.