
SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menghargai komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu kekurangan pegawai perubatan di Hospital Sibu, kata Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing.
Menurut beliau, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataan di Parlimen baru-baru ini, memberi jaminan bahawa masalah kekurangan pakar bius dan pegawai perubatan unit rawatan rapi (ICU) di hospital berkenaan akan ditangani segera.
“Beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini.
“Saya amat menghargai keprihatinan dan tindakan pantas beliau, termasuk lawatan sendiri ke Hospital Sibu serta tiga klinik kesihatan bagi menilai keperluan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (28 Feb).
Tiong berkata, hasil lawatan itu, kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM9.1 juta bagi memperkukuh perkhidmatan Hospital Sibu.
Daripada jumlah tersebut, RM1.3 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan membeli peralatan perubatan, manakala RM7.8 juta digunakan untuk menangani masalah kulapuk di siling hospital.
Beliau turut mengakui usaha berterusan dalam mesyuarat Kabinet bagi membangkitkan keperluan peningkatan kemudahan di Hospital Sibu dan klinik kesihatan sekitar.
Dalam masa sama, beliau menghargai peranan Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, dalam menjayakan lawatan tersebut.
Dalam pada itu, Tiong menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu berkaitan peningkatan kemudahan kesihatan di Sibu.
“Ini adalah hasil usaha bersama dan tidak seharusnya dijadikan modal politik atau peluang menuntut kredit yang tidak sewajarnya. Fokus utama kita adalah memastikan kesejahteraan rakyat, bukan meraih populariti peribadi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa lawatan kerja Menteri Kesihatan perlu dilihat secara positif, selain menghormati usaha kakitangan perubatan yang bertungkus-lumus sepanjang proses ini.
“Ahli politik khususnya harus berperanan sebagai penyampai keperluan rakyat kepada kerajaan dan mencari penyelesaian terbaik, bukan sekadar mengejar publisiti,” ujarnya.
Dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam di Sibu, Tiong memaklumkan beliau sedang bekerjasama dengan sektor swasta bagi mendapatkan peralatan perubatan yang lebih canggih, sama ada melalui pembelian atau penyewaan.
“Saya komited memastikan Hospital Sibu mempunyai kelengkapan yang mencukupi agar rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Dr Dzulkefly meninjau Hospital Sibu, Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Jalan Oya dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya dalam lawatan kerjanya ke Sibu.
Selain peruntukan RM9.1 juta, Hospital Sibu juga bakal menerima sebuah bangunan baharu yang akan menambah kapasiti sebanyak 340 katil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Klinik Kesihatan Jalan Oya baharu turut dirancang bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang tidak lagi mampu menampung keperluan pesakit.
Oleh Tarani Lanting