KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menggesa penggiat industri inap desa memohon insentif yang ditawarkan.
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tawaran dari kementerian persekutuan atau di peringkat negeri itu juga layak dinikmati oleh penggiat industri inap desa yang bergerak sendiri membuka rumah mereka untuk tujuan tersebut.
“Mereka boleh datang ke kementerian untuk melihat di mana insentif atau bantuan yang boleh dikongsi bersama mereka untuk mereka bergerak maju lagi (perniagaan inap desa),” katanya.
Abdul Karim berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Sia Sitok Sarawak 2020 disebuah hotel terkemuka semalam.
Insentif berkenaan ditawarkan kata Abdul Karim bagi membantu dan memberi galakan kepada usahawan tempatan untuk belajar memulakan dan memperkembangkan perniagaan inap desa setempat.
“Kita memang menggalakkan kerana hotel-hotel besar memang tidak akan buka di kawasan pendalaman,” ujarnya.
Abdul Karim mengakui tren rakyat tempatan yang mendiami di sekitar kawasan peranginan atau pantai membuka inap desa semakin rancak kerana mereka melihat terdapat anjakan dalam industri tersebut seperti di Telok Melano dan sebagainya.
Malah, Abdul Karim menambah apabila promosi tempat percutian tempatan dijalankan ramai yang ingin pergi ke pedalaman untuk menikmati keindahan dan ia tentu sekali membantu menghidupkan industri inap desa.
Disoal mengenai sama ada kolam renang di hotel-hotel terkemuka dibuka atau tidak, Abdul Karim memberitahu syarat itu masih tertakluk kepada standard operasi prosedur (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“(Kolam renang) masih lagi belum di buka, makanan secara buffet pun (belum dibuka),” jelasnya ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan pematuhan SOP yang ditetapkan untuk usaha memerangi pandemik Covid-19 yang belum selesai.
Oleh Diyana Samsuddin