KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (MOTAC) disaran mempertimbangkan keputusan menghentikan operasi permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang bakal menjejaskan kemasukan pelabur dalam aset perumahan dan sektor pelancongan khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian susulan tindakan MOTAC yang telah mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024.
Merujuk kepada pekeliling tersebut, MOTAC telah mengarahkan kesemua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk menghentikan operasi masing-masing.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, MOTAC sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebelum mengeluarkan pekeliling itu.
Katanya, meskipun MOTAC tidak mahu lanjutkan program itu atas sebab berfikir untuk mewujudkan dasar sendiri, maka, jelas Karim, laksanakanlah dasar itu di Semenanjung sahaja tanpa mengganggu operasi sedia ada di Sabah dan Sarawak.
Ini kerana, menurut Abdul Karim, kedua-dua negeri ini, mempunyai syarat berlainan sedikit untuk MM2H.
Sebagai contoh, jelasnya, di Sarawak, pemohon memerlukan RM150,000 deposit tetap berbanding RM1 juta di Semenanjung, justeru, permintaan program di negeri ini melonjak naik.
Mengulas lanjut mengenai kuasa autonomi, katanya, kuasa itu ada pada masyarakat dan imigresen berhak mengenai hal tersebut.
“Kita tidak mahu menimbulkan masalah tetapi kita berharap Kerajaan Persekutuan menerusi MOTAC turut bertimbang rasa dengan dasar yang kami laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak Rainforest World Music Festival (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.
Karim pada masa sama turut meluahkan kekesalan terhadap tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing yang mendiamkan diri tanpa bersuara mengenai perkara tersebut.
Katanya, Ia merupakan satu kerugian bagi Sarawak yang sebelum ini merekodkan 90 peratus peningkatan permintaan dari keseluruhan kuota program tersebut.
“Sepatutnya perkara ini dibincang bersama, bukan MOTAC saja yang sepenuh kuasa cakap ini, cakap itu dan Sabah Sarawak ikut sahaja dan saya sangat kecewa.
“Memalukan, saya tahu sekarang ini perkara ini memang dibawah hak anda(Tiong), tapi anda perlu faham Sabah dan Sarawak juga ada hak dalam hal pelancongan.
“Kalau ikutkan ia adalah hak Sabah Sarawak, tetapi kami mahu berkongsi, dan meletakannya(pelancongan) ke dalam ‘Concurrent List’ pada mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini,” katanya.
Oleh itu, Karim mengesahkan bahawa pihaknya akan berbincang dengan lebih lanjut dengan pihak MOTAC berkaitan perkara tersebut.
“Kita akan bincang, ini ada isu antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Dalam sistem federalisme isu seperti ini yang mana ada pertembungan perlu dibincang dengan baik, bukan hanya satu pihak menolak hak yang lain, MOTAC sering melakukan perkara ini, cakap itu tak boleh, ini tak boleh,”katanya.
Oleh Shahrul Qaizat