
LAWAS: Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sarawak telah memperluaskan produk pelancongan dengan memperkenalkan agropelancongan.
Inisiatif ini turut membuka peluang kepada pengusaha rumah penginapan dan inap desa di kawasan luar bandar untuk terlibat secara langsung.
Program ini amat penting kerana kawasan desa dan luar bandar di Sarawak mempunyai pelbagai keunikan serta keindahan alam semula jadi yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Melalui program MOTAC bersama komuniti, diharap daya tarikan pelancongan di Sarawak dapat dikembangkan, terutamanya menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sektor agropelancongan juga diharapkan menjadi penyumbang utama dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara ini pada tahun hadapan.
Pengarah MOTAC, Debbie Jenggut Nyelang memberitahu program agropelancongan merupakan produk baru yang akan dikembangkan ke seluruh kawasan luar bandar di Sarawak.
“Walaupun aktiviti pertanian berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MOTAC kini berperanan sebagai rakan strategik bagi memastikan agropelancongan dilaksanakan secara mampan apabila unsur pelancongan diperkenalkan.
“Pengusaha inap desa berdaftar juga akan menerima geran untuk pembangunan prasarana serta kursus keusahawanan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program MOTAC Bersama Komuniti (PMBK) Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Ba’kelalan di Hotel Seri Malaysia Lawas hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan Baru Bian.
Sarawak mempunyai 68 kluster inap desa berdaftar dengan 857 pengusaha dan 1,821 bilik inap desa.
Setakat Oktober tahun ini, MOTAC merekodkan pendapatan pengusaha inap desa di Sarawak sebanyak RM6.5 juta, manakala di Daerah Lawas, pendapatan daripada inap desa berjumlah RM700,000.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pelaksanaan program agropelancongan, MOTAC berharap pendapatan pengusaha inap desa di Sarawak akan terus meningkat.
Oleh Adeng Edrus