
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik empat syarikat bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), khusus untuk menjalankan Pemeriksaan Tukar Hak Milik (M.V.15) kenderaan persendirian.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelantikan empat syarikat itu berkenaan adalah satu daripada usaha MOT untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan dalam pasaran, selain mengurangkan kesesakan di PPKM sedia ada yang turut melaksanakan pemeriksaan berkala kenderaan berat.
“Sebelum ini, mana-mana pemilik kenderaan yang ingin menjual kereta mereka atau membeli kereta terpakai melalui pengedar kereta terpakai, setiap kenderaan itu perlu diperiksa untuk pengesahan sebelum pertukaran hak milik dibenarkan.
“Sekarang ini, mereka hanya ada satu pilihan iaitu pergi ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). Jadi dengan membuka pasaran baharu, ia akan memudahkan proses pertukaran hak milik kenderaan kerana orang awam boleh pergi ke mana-mana premis syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Loke berkata pelantikan empat syarikat itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang telah bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] kepada syarikat berkelayakan.
Empat syarikat berkenaan ialah Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Beliau berkata kesemua syarikat itu diberi tempoh 12 bulan untuk membuat persediaan berdasarkan syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemberian Lesen PPKM M.V.15.
“Dalam tempoh ini juga, JPJ akan melaksanakan pemantauan berterusan dan Lesen Operasi hanya diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi kesemua keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.
Antara syarat utama ditetapkan ialah keupayaan syarikat yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM1 juta, berstatus Sdn Bhd dan pemilikan tempatan, serta mengemukakan cadangan lokasi untuk pertimbangan tertakluk kepada kelulusan MOT atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu, syarikat dilantik turut bertanggungjawab menyediakan infrastruktur lengkap merangkumi pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan, integrasi sistem dengan MySIKAP serta memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, selain Pemeriksa Kenderaan Motor perlu mendapat pentauliahan kompetensi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum dibenar melaksanakan tugas.
“Memandangkan ada antara syarikat ditawarkan turut menjalankan aktiviti lain seperti jual beli kenderaan terpakai, pihak syarikat disyaratkan menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan serta kakitangan khas bagi tujuan pengoperasian PPKM M.V.15 tertakluk kepada piawaian ISO/IEC 17020:2012,” katanya.
Loke berkata pembukaan lebih banyak PPKM juga bertujuan meningkatkan persaingan sihat dan memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Perluasan PPKM ini juga seiring dengan dasar Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan semasa, iaitu kerajaan beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada sistem pelesenan berbilang pemain,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut mempertimbangkan untuk mewajibkan pemeriksaan motosikal sebelum pertukaran hak milik dibenarkan pada masa hadapan.
“Setakat ini, pemeriksaan untuk motosikal tidak diwajibkan sebelum tukar milik. Namun, setelah kemudahan ditambah baik, kita akan meneliti keperluan untuk langkah itu dilaksanakan,” katanya. — Bernama