KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membuka semula 121 kekosongan lesen vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) kepada pemohon baharu, selepas individu yang asalnya ditawarkan gagal hadir untuk menjalani latihan dan ujian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (gambar) berkata seramai 300 orang pada mulanya diberikan peluang untuk mendapatkan lesen ini, namun 121 individu tidak hadir, dipercayai kerana menganggap tawaran tersebut sebagai penipuan.
“Kementerian tetap komited untuk menunaikan janji kami. Kekosongan yang ditinggalkan ini akan ditawarkan semula kepada pemohon yang berminat. Tidak ada masalah di sini,” jelasnya.
“Kementerian sudah meminta persatuan bas yang berminat mengemukakan senarai nama untuk menyertai program ini sejak April lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) antara Kerajaan Persekutuan dan Biaramas Express Sdn. Bhd di sink hari ini.
Loke turut membidas dakwaan bahawa kementeriannya gagal menyediakan latihan kepada calon yang ingin mendapatkan lesen PSV seperti yang dilaporkan oleh sebuah agensi media tempatan baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa persatuan bas meminta lanjutan masa untuk menghantar senarai nama calon mereka.
“Setakat ini, seramai 179 individu sedang menjalani proses ujian dan latihan, dan mereka akan selesai tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berharap usaha ini akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan pemandu bas yang dihadapi oleh industri ketika ini, memandangkan jumlah bas yang kian bertambah.
“Kami melihat peningkatan jumlah bas, tetapi kekurangan pemandu menjadi isu utama. Oleh itu, kami menambah lebih banyak sesi latihan bagi melahirkan pemandu berlesen.
“Lesen ini diberikan secara percuma, dan semua kos ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Kehormat Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA), William Chan, mengulas mengenai program MYPSV dan mendakwa kerajaan serta Kementerian Pengangkutan tidak membuat susulan yang sewajarnya.
Namun, SBTCA kemudiannya menghantar surat rasmi kepada kerajaan, menjelaskan bahawa kenyataan Chan kepada media dibuat tanpa perbincangan atau persetujuan daripada Jawatankuasa SBTCA.
Oleh SHAHRUL QAIZAT