Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • MOT benarkan kenderaan rekreasi dilesenkan bagi tujuan komersial mulai 2026
  • NASIONAL

MOT benarkan kenderaan rekreasi dilesenkan bagi tujuan komersial mulai 2026

Utusan Sarawak 3 days ago
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kajang, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan. Foto BERNAMA

KAJANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju membenarkan perkhidmatan kenderaan rekreasi (RV) dilesenkan dan dikawal selia bagi tujuan komersial bermula 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil bagi menyokong perkembangan segmen pelancongan berasaskan kenderaan rekreasi yang kini menunjukkan pertumbuhan positif di Malaysia.

Beliau berkata dasar baharu itu juga akan membolehkan RV digunakan sebagai Kenderaan Sewa dan Pandu Pelancongan (KSPP) di Semenanjung serta Kereta Sewa Pandu (KSP) di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Pelaksanaannya adalah terhad kepada kenderaan baharu sama ada Completely Knocked Down (CKD) atau Completely Built-Up (CBU), berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Kajang, di sini hari ini.

Loke berkata RV persendirian yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 boleh dikomersialkan dengan syarat berusia tidak melebihi 15 tahun serta lulus pemeriksaan teknikal yang akan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata MOT dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mengkaji pelaksanaan permohonan lesen RV secara single window bagi memudahkan urusan pengendali.

“Bermula 1 Januari 2026, mana-mana kenderaan RV baharu yang ingin disewakan hanya perlu mendapatkan satu permit daripada MOTAC bagi membolehkan ia digunakan untuk aktiviti pelancongan memandangkan aktiviti pelancongan bukan di bawah bidang kuasa MOT,” katanya.

Beliau menegaskan langkah pelesenan itu penting untuk mengawal selia operasi, menjamin keselamatan pengguna dan melindungi kepentingan penyewa melalui penguatkuasaan permit yang ditetapkan.

Mengulas mengenai kes seorang pemandu kereta sewa haram dipercayai menipu pelancong asing dengan mengenakan tambang lebih RM800, Loke berkata kumpulan terbabit menyewa kenderaan daripada syarikat atau individu sebelum menggunakannya untuk perkhidmatan pengangkutan secara haram.

“Modus operandi mereka mudah. Kereta bukan milik sendiri, jadi jika disita atau dilucut hak, mereka tidak terjejas. Malah, keuntungan harian yang diperoleh daripada seorang pelanggan boleh mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Loke berkata JPJ akan memperketat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala pengintipan dan operasi terus dijalankan bagi memastikan aktiviti itu dihapuskan. 

“Kita juga akan meneliti sama ada peruntukan undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu diperketat bagi memberi mesej jelas bahawa perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata projek pembinaan pejabat baharu JPJ cawangan Kajang bernilai RM22.7 juta telah bermula 10 April lepas dan dijangka siap 7 April 2027.

Beliau berkata bangunan dua tingkat berkeluasan 2,678 meter persegi itu menampilkan rekaan moden dengan memberi tumpuan kepada aspek kebolehcapaian dan kemudahan pelanggan.

Ini termasuk kaunter perkhidmatan lebih selesa, bilik mesyuarat, surau, ruang parkir mencukupi serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) yang mampu menampung hingga 150 pengunjung dalam satu-satu masa.

“Lokasi strategik pejabat ini yang berhampiran kawasan perindustrian, penempatan penduduk dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dijangka memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat dengan meningkatkan rangkaian logistik, merancakkan perniagaan serta membuka peluang pekerjaan baharu,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: JPN, MoF integrasi sistem elak MyKad hilang disalah guna tebus bantuan kerajaan
Next: MOTS perkukuh kerjasama dengan ALAM untuk pembangunan modal insan maritim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.