Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mordi Bimol gesa penubuhan Pasukan Petugas Khas tangani judi atas talian
  • TEMPATAN

Mordi Bimol gesa penubuhan Pasukan Petugas Khas tangani judi atas talian

Utusan Sarawak 12 hours ago
AHLI Parlimen Mas Gading…Mordi Bimol.

KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menggesa kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Peringkat Kebangsaan bagi menangani penularan aktiviti judi atas talian atau ‘rumah kuning’ yang semakin berleluasa di Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, isu perjudian digital kini berada pada tahap membimbangkan, dengan kedai runcit dan warung kampung dijadikan tempat berselindung untuk menjalankan aktiviti haram itu.

“Fenomena ini bukan sekadar menggugat kesejahteraan sosial, malah menjejaskan ekonomi tempatan dan pembangunan negeri. Lebih membimbangkan, ramai belia serta pelajar sekolah mula terjerumus dalam hutang dan konflik keluarga akibat perjudian mudah akses,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mordi turut mendedahkan laporan Jabatan Premier Sarawak yang menunjukkan negeri kehilangan RM400 juta hasil cukai sejak 2019 akibat kegiatan perjudian haram.

Walaupun Ops Dadu telah mencatat lebih 500 serbuan dan ratusan tangkapan, katanya, aktiviti itu tetap hidup dan berkembang pesat membuktikan kelemahan penyelarasan antara agensi penguat kuasa.

Beliau mencadangkan pindaan terhadap Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 bagi meliputi aspek perjudian digital, laman cermin (mirror sites) serta penggunaan mata wang kripto yang kini menjadi modus operandi utama sindiket.

“Saya menghargai usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun pendekatan semasa masih terlalu berfokus kepada operasi tanpa rangka penyelarasan nasional yang kukuh,” tegasnya.

Antara cadangan beliau termasuk mewujudkan pangkalan data bersama antara PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyenarai hitam pemilik premis yang berulang kali terlibat dalam kegiatan perjudian.

“Ramai pemilik premis yang diserbu mampu beroperasi semula menggunakan nama perniagaan baharu di alamat sama. Tanpa sistem data bersama, penguatkuasaan hanya bersifat sementara,” jelasnya.

Mordi turut menyarankan kerajaan menilai semula model pelesenan perjudian dalam talian yang sah dan terkawal, dengan kawalan ketat terhadap pengesahan identiti, had umur dan audit cukai.

“Pendekatan kawal selia lebih realistik berbanding hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata,” ujarnya.

Beliau menegaskan, isu perjudian ini bukan sekadar soal jenayah, tetapi juga ancaman sosial dan moral masyarakat, serta menggesa semua pihak kerajaan, agensi penguat kuasa dan pemimpin komuniti berganding bahu membanteras gejala ini sebelum menjadi wabak yang lebih parah.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: MBKS promosi amalan tekstil lestari menerusi program Jahit & Jimat
Next: 387 pegawai KDN Sarawak terima Anugerah Cemerlang 2024

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.