KUCHING: Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya membawa hujan lebat dijangka berlarutan hingga Mac ini.
Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Brunei Darusalam, Profesor Dr Fredolin Tangang (gambar) berkata sekarang ini masih awal Februari.
“Musim Monsun Timur Laut biasanya sampai Mac. Pada Februari, cuaca extrem dengan hujan lebat kebarangkalian berlaku lebih tinggi di Sabah, dan Sarawak berbanding Pantai Timur di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Dr Fredolin berkata keadaan corak tiupan luruan sejuk dan keadaan cuaca buruk baru-baru ini adalah contoh terbaik.
Katanya, ia mungkin berulang jika episod luruan sejuk ini berlaku semula.
Namun satu lagi ancaman katanya, adalah La Nina sekarang.
Berikutan itu katanya, kelembapan dari lautan pasifik bertumpu ke kawasan sebelah sini.
Mengenai situasi di Brunei, beliau berkata kawasan Kuala Belait dan beberapa lokasi lain yang berdekatan Miri turut dilanda banjir.
Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini berkata cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir Mei hingga September, dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac.
Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.
Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai fasa peralihan monsun.
Oleh KADIR DIKOH