
PUTRAJAYA: Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula 10 Mei lepas dan akan berterusan hingga September ini, dijangka tidak menyebabkan keadaan cuaca panas ekstrem berikutan status semasa corak iklim El Nino Southern Oscillation (ENSO) kini berada dalam fasa neutral.
Ketua Pengarah (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah berkata berikutan itu, impak kemarau yang sering dikaitkan dengan MBD dijangka tidak teruk pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
“Walaupun MBD lazimnya membawa cuaca yang lebih kering ke Semenanjung Malaysia, status neutral ENSO bermakna impak kemarau teruk seperti yang sering dikaitkan dengan El Nino adalah kurang berkemungkinan.
“Secara ringkasnya, status neutral ENSO ini bermakna kita boleh menjangkakan monsun yang lebih biasa tanpa pengaruh ekstrem yang dibawa oleh El Nino atau La Nina, dengan jangkaan ini diramal berterusan hingga Oktober depan,” katanya pada sesi libat urus bersama media mengenai persiapan Kerajaan menghadapi MBD di sini hari ini.
ENSO ialah corak iklim di Lautan Pasifik yang berayun antara fasa lebih panas (El Nino), lebih sejuk (La Nina) dan neutral dengan keadaan itu memberikan impak ketara kepada cuaca global, termasuk musim monsun di Malaysia.
Abdul Halim berkata walau bagaimanapun, kesan cuaca panas itu masih boleh menyebabkan punca risiko kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar serta jerebu yang jika berpanjangan, ia boleh menjejaskan hasil pertanian.
Beliau berkata ciri utama MBD ialah taburan hujan yang rendah untuk Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan di kebanyakan negeri.
Selain itu, ciri lain termasuk pembentukan garis badai, iaitu fenomena kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan pada waktu pagi di Barat Semenanjung Malaysia dan Barat Sabah serta kejadian jerebu tempatan dan rentas sempadan juga boleh berlaku jika kebakaran hutan tidak dikawal.
Abdul Halim berkata NADMA bersama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan sumber manusia untuk digerakkan menghadapi impak MBD.
Dari aspek pengurusan sumber air dan kemarau hidrologi, beliau berkata ramalan kemarau melibatkan storan empangan dan kadar alir sungai menunjukkan majoriti empangan utama dan aras air sungai masih di tahap normal kecuali Empangan Malut di Kedah yang kini berada di tahap waspada kemarau hidrologi, dengan status simpanan 37.6 peratus setakat 27 Mei lepas.
“Esok kita akan bermesyuarat penyelarasan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah untuk isu empangan Bukit Malut sebagai satu langkah proaktif dan tidak akan menunggu sehingga empangan kering untuk menjalankan OPA,” katanya.
Beliau berkata JBPM dipilih untuk menjadi agensi penyelaras yang bertanggungjawab menguruskan penerimaan aduan berkaitan pembakaran terbuka bagi mengelakkan pertindihan tindakan serta memastikan maklum balas yang pantas dan tepat.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, JBPM telah menangani 3,791 kes pembakaran terbuka dengan lima negeri mencatatkan statistik kes tertinggi iaitu Kedah (547), Johor (468), Terengganu (384), Selangor (368) dan Perak (357).
Abdul Halim berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 19 Mei lepas, JAS telah mengenal pasti sebanyak 125 titik panas di Malaysia serta menjalankan siasatan 2,391 kes pembakaran terbuka dengan 34 kompaun dikeluarkan, dan 16 kes dibawa ke mahkamah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi MET Malaysia Ambun Dindang berkata suhu 36 hingga 37 darjah Celsius dijangka berlaku pada Julai dan Ogos ini dengan kawasan utara Semenanjung Malaysia dan pedalaman akan mengalami cuaca lebih panas berbanding di kebanyakan tempat.
Ditubuhkan pada 2015, NADMA bertujuan menyelaras dan memperkukuh pengurusan bencana negara secara lebih holistik, bersepadu dan efisien, menggantikan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam aspek pengurusan bencana.
NADMA bertanggungjawab merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar serta strategi berkaitan kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana.
Agensi ini turut berfungsi sebagai pusat rujukan utama negara dalam menguruskan pelbagai jenis bencana seperti banjir, jerebu, gempa bumi dan pandemik dengan kerjasama rapat daripada pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat.
–Bernama