Oleh Aileen Clare
MONA membelek – belek pakaian yang dijual itu, senyumannya melebar. Hatinya berasa tidak sabar untuk menghadiri majlis hari jadi Natasha. Alia dan Haliza pula tengah memilih kasut dan beg tangan untuk dihadiahkan kepada Natasha.
Tangannya menarik satu gaun merah, dia mencari tanda harganya. Matanya terbeliak. RM 150.00. Dia tidak menyangka harga gaun itu mencecah ratusan ringgit. Dia menoleh ke arah dua orang kawannya, mereka sudah ke kaunter pembayaran. Mona mengira jumlah wang di dalam begnya. Duitnya hanya cukup untuk perbelanjaan selama satu bulan, itulah duit simpanannya.
“ Mona, kami tunggu di luar ya.” Alia melaung .
Mona mencapai gaun merah itu dan dia membayarnya. Hanya RM 30.00 yang tersisa. Mereka kemudian pulang ke rumah, Mona membayangkan majlis hari jadi Natasha sangat mewah.
Setibanya di rumah, Mak Leha sedang menyapu daun – daun kering di hadapan rumah. Matanya menangkap beg pakaian di tangan Mona. Mona memberi salam, mak Leha mengerutkan dahinya.
“Kamu dari mana, balik – balik dengan pakaian baru. Kamu beli baju baru? ” Soal Mak Leha.
Mona mengangguk. Dia segera masuk ke dalam rumah. Mona segera bersiap, dia tidak mahu lewat ke majlis hari jadi rakannya. Mak Leha memanggil anaknya.
“Mak panggil Mona ?”
Mak Leha mengangguk. Tangannya memegang botol ubat yang kosong.
“Mona ada duit sikit? Mak nak pinjam, ubat mak semua dah habis. Mak nak beli ubat tetapi duit mak cukup-cukup untuk membeli beras saja tadi.”
“Mak, Mona tak ada duit. Mona bukannya kerja, mak pergilah menjual tin – tin kosong yang selalu mak kutip.”
“ Eh, habis Mona beli apa tadi? Kalau Mona mampu beli barang mahal, takkan dengan mak sendiri pun hendak berkira.” Mak Leha sedikit kecewa dengan anaknya.
Mona terdiam, dia memikirkan satu alasan.
“ Itu gaun untuk Natasha nanti, Mona bukan belikan gaun itu dengan duit sendiri. Alia yang beri duit, Mona tolong belikan.” Mona menipu.
Mak Leha batuk dengan teruk, dia tidak memaksa Mona, malah berasa bersalah kerana tidak dapat memberi kesenangan kepada Mona. Suaminya telah meninggal dunia dalam 3 tahun yang lepas akibat kemalangan. Sejak itu, Mak Leha membesarkan Mona dengan sendiri. Dia akan mengambil upah mencuci rumah orang, menoreh getah dan kadang – kadang dia akan berjalan – jalan mencari tin kosong untuk dijual.
Mak Leha ingin anaknya berjaya suatu hari nanti. Kesihatan Mak Leha semakin hari semakin merosot, dia kerap batuk. Doktor menyarankan dia agar lebih banyak berehat. Dia tidak mampu mengikut nasihat doktor kerana dia tahu Mona amat bergantung dengan dirinya.
Di majlis itu, Mona berseronok dengan rakan – rakannya. Dia mendambakan kehidupan yang mewah seperti Natasha. Pakaian semua orang pada malam itu sangatlah mahal dan berjenama sedangkan Mona hanya menyewa bajunya. Dia tidak pernah merasa mewah sebegini, dia alpa dalam keseronokan. Tiba – tiba ada beberapa orang lelaki dan perempuan yang tidak dikenali datang mendekati.
“Mona, mereka semua sepupu aku.” Natasha memperkenalkan sepupunya.
Mona tersipu – sipu malu, salah seorang sepupu Natasha menegur pakaian Mona yang nampak mahal.
“Cantik baju, mesti mahal.”
“Eh, baju saya sememangnya mahal. Saya yang mendapat malu kalau guna baju murah.” Jawab Mona dengan angkuh.
“Tiada salahnya kalau menggunakan pakaian murah, tidak juga kita membazir.”
Mona hanya mengangguk, mereka berbual kosong. Majlis hari jadi semakin rancak dan meriah.
Mak Leha menunggu kepulangan anak gadisnya. Jam telah menunjukkan pukul 1:30 pagi. Dia mulai risau, mahu menghubungi anaknya tetapi dia sendiri tidak mempunyai telefon bimbit. Mata Mak Leha semakin memberat tetapi dia tetap menunggu anaknya. Tombol pintu tiba – tiba bergerak, Mona terkejut melihat ibunya belum tidur.
“Mak? Mak belum tidur ? Sudah lewat malam mak, mak pun tahu kesihatan mak tak seberapa.” Mona mendapatkan ibunya.
“Mak risaukan kamu. Kamu pergi ke mana ?” Mak Leha batuk kecil.
Mona menjelaskan dia hanya ke rumah Natasha, dia mengurut belakang ibunya. Dia sudah cuba untuk balik dengan lebih awal tetapi Natasha menahannya, mereka masih mahu berseronok. Mona berasa sangat bersalah dengan ibunya. Dia menemani ibunya ke bilik.
Selesai mandi, Mona ke dapur. Dia membancuh air kopi sambil menyiapkan kerja sekolahnya. Dia harus menyiapkannya dengan segera kerana dia mahu tidur, telinganya menangkap satu bunyi. Mona berdiri di hadapan bilik ibunya, bunyi batuk ibunya tidak berhenti. Mona berasa sangat sedih, ibunya semakin tua dan sakit. Dia teringatkan harga baju yang dibelinya tadi dan dia juga teringat dengan ubat – ubatan ibunya.
Mona menangis sendiri, dia berasa sangat bersalah. Dia melebihkan kawannya berbanding ibunya sendiri. Dia akui Natasha banyak membantunya di sekolah, Natasha sangat baik terhadap dirinya. Natashalah yang selalu menghulurkan duit kepadanya apabila dia tiada duit belanja. Bukan itu sahaja, segala buku – buku rujukan juga Natasha yang tolong belikan.
Buku sekolah ditutup, dia tidak dapat mengawal emosinya. Wajahnya dibilas kemudian pintu bilik ibunya dikuak. Pada malam itu dia ingin tidur dengan ibunya, Mona menatap wajah ibunya yang penuh lena.
Angin menderu kuat membelah kepekatan malam. Setitik demi setitik air terlepas dari awan. Hujan mulai turun dengan perlahan. Malam itu sangat dingin. Mona semakin lena memeluk ibunya.
Keesokan paginya Mona berjalan kaki ke sekolah seperti biasa. Di tangannya ada sebungkus nasi goreng yang disediakan ibunya. Tangannya berayun menjinjing bekalnya. Tiba – tiba ada seekor anjing mengekorinya dari belakang. Bunyi salakan anjing mengejutkan Mona. Mona berlari sepantas kilat sehingga dia terjun masuk ke dalam semak. Dia memerhati anjing itu di celah semak. Anjing itu tidak mengejarnya tetapi hanya menyalak. Anjing itu berjalan hanya dengan tiga kaki sahaja. Satu kakinya patah dan badannya juga dipenuhi dengan kurap dan sangat kurus.
Mona berasa simpati, dia akui dirinya sangat takut dengan anjing tetapi dia tidak sanggup melihat binatang itu dalam keadaan yang sakit dan lapar. Memandangkan anjing itu masih jauh, dia membuka dan meletakkan bungkusan nasi goreng di tepi jalan. Mona meneruskan perjalanannya ke sekolah.
Di sekolah, Mona ke perpustakaan menghabiskan masa rehatnya. Perutnya berbunyi minta diisi. Mona menarik nafas perlahan – lahan menahan lapar, dia keluar ingin ke kelas. Bahunya dicuit lembut, Natasha menghulurkan sebungkus nasi lemak dan kuih muih.
“Aku tahu kau belum makan, aku ada belikan sedikit makanan untuk kau. Makanlah. Waktu rehat akan tamat tidak lama lagi.”
“Kau memang tahu aku belum makan?” Soal Mona dengan sayu.
“Kau kawan baik aku, aku kenal sangat dengan kau. Kau akan ke perpustakaan kalau kau tidak makan.”
Mona memeluk Natasha dengan erat, Mona menjamah makanan dengan lahap sebelum tamatnya waktu rehat.
“Aku rasa nak cari kerja balik sekolah nanti.” Mona mengutarakan niatnya.
“Kau nak kerja apa?”
“Entah, aku tidak pasti. Aku nak kerja separuh masa. Aku nak bantu mak aku. Dia sakit. Aku nak belikan ubat untuk mak aku.”
“Mak kau sakit? Teruk tak?” Soal Natasha dengan penuh simpati.
“Kau jangan risau, tidak teruk sangat. Aku sayang mak aku. Aku cuma ada mak aku. Aku tak nak dia sakit. Kalau aku ada duit lebih nanti, aku nak bawa dia ke hospital.”
“Mona, kalau kau perlukan apa – apa bantuan janganlah segan beritahu aku. Aku rasa kau tidak perlu mencari kerja, aku takut ada yang mengambil kesempatan.”
“Tidak mengapalah, kau sudah banyak membantu aku. Aku sangat terhutang budi dengan kau.” Mulut Mona dipenuhi dengan nasi lemak.
“Bagaimana dengan tengah malam tadi, mesti kau lambat sampai ke rumah.”
“Memang lambat pun. Mak aku tunggu aku. Dia pun belum tidur,”
“Mak kau tidak marah?”
Mona menggeleng. Dia menjelaskan ibunya sangat merisaukannya. Natasha merasakan Mona sangat beruntung mempunyai seorang ibu yang sangat mengambil berat akan dirinya. Berbeza sekali dengannya, ibu bapanya langsung tiada masa untuknya dan mereka hanya ada masa untuk mengejar harta dunia.
Mona hampir putus asa berjalan mencari kerja. Hampir semua tempat tidak menerimanya kerana dia masih bersekolah. Adakah dia perlu berhenti sekolah? Dia yakin ibunya akan membantah keras dengan cadangan itu. Dia mengeluh.
“Adik, kenapa sedih sangat?” Tiba – tiba datang seorang wanita berusia 30-an menegurnya.
Mona tanpa rasa was – was menceritakan segala – galanya. Wanita itu mengangguk.
“Kamu boleh panggil saya Mommy Ella, mommy ada mencari pekerja itu pun kalau Mona berminat. Mona masih muda, memang tepat dengan pilihan mommy.”
Mona terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Dia tidak tahu bahawa maruah dirinya bakal digadai. Mona mengekori Ella ke satu tempat dengan kereta Ella. Sepanjang perjalanan, Mona banyak menceritakan tentang dirinya. Ella mendengar dan dia telah memikirkan rancangan jahatnya. Dia tahu Mona seorang yang lurus bendul dan mudah tertipu. Tiba – tiba telefon Ella berdering, dia memberhentikan kereta di tepi jalan dan keluar sebentar.
Perut Mona memulas. Dia keluar dari kereta dan ingin bertanya sekiranya ada tandas di sekitar sana.
“Aku tahu, kau tunggu aku bawa dia ke sana. Budak sekolah, muda lagi. Budak itu nampaknya senang ditipu Aku hantar malam ini. Esok kalau sudah sampai di tempat kau pandai – pandailah kau atur.”
Kata – kata Ella menghentikan langkah Mona, telinga menangkap perbualan Ella. Mona merasa keselamatan dirinya terancam. Ella tidak sedar Mona berada di belakangnya. Tanpa membuang masa Mona mengambil beg sekolahnya dan menutup pintu perlahan – lahan. Dia terus berlari meninggalkan Ella. Mona menangis sepanjang perjalanan. Hari semakin gelap. Mona tiada arah tuju. Dia kesejukan dan berasa sangat lapar. Dia ingin duduk di stesen bas tetapi khuatir Ella akan menemuinya.
Dia tetap meneruskan perjalanan. Dia tidak mampu menempah teksi kerana tiada wang. Mona tidak mampu meneruskan perjalanan lagi, dia duduk di sebelah kedai makan.
“Eh, kamu Mona? Kamu kawan Natasha kan?” Belum sempat Mona menyahut, tiba – tiba pandangannya menjadi gelap.
Mata Mona berkedip – kedip, telinganya juga menangkap suara tangisan ibunya. Mona sedar, Mak Leha memanjatkan syukur dan terus memeluknya. Mona dan mak Leha saling bertangisan. Mona meminta maaf daripada ibunya.
“Mak kau risaukan kau, dia datang ke rumah aku dan beritahu yang kau tidak pulang ke rumah. Aku teringatkan kata – kata kau yang kau nak pergi cari kerja. Tidak lama selepas itu, sepupu aku menelefon aku yang dia jumpa kau pengsan.”
“Mona, jangan tinggalkan mak. Mak minta maaf sebab tak dapat beri apa yang Mona inginkan. Mona tidak perlu bersusah payah mencari kerja.” Mona menggeleng dan terus menangis.
Ibu bapa Natasha juga berada di rumah Mona pada masa itu, ibu Natasha memeluk anak gadisnya dan turut menangis. Sudah lama Natasha tidak mendapat pelukan dari seorang ibu.
Bapa Natasha yang merupakan seorang usahawan yang berjaya memberikan sumbangan kepada Mona dan ibunya. Mona belajar bersungguh – sungguh demi mencapai cita – citanya, ibunya semakin meningkat usia dan dia mahu ibunya melihatnya berjaya.
Sebuah foto ditatap lama. Gambar Mona dengan jubah graduasi dan bergandingan dengan ibunya. Bibirnya mengukirkan senyuman nipis, air matanya mengalir perlahan.
“Mama, kenapa mama menangis? Itu gambar siapa?”
Segera Mona menyeka air matanya.
“Ini gambar mama dengan nenek, sayang.”
Tidak lama selepas foto itu diambil bersama, Mak Leha semakin tenat dan akhirnya dia meninggalkan Mona buat selamanya.