
-Foto UKAS
KOTA SAMARAHAN: Pelumba dari Tugau Vaie Cycling Team, Mohd Razif Mohd Salleh, menampilkan aksi cemerlang apabila muncul juara bagi kategori Men Open dan kategori Veteran dalam Samarahan Bike Challenge 2025 yang berlangsung meriah di The Summer Shopping Mall, di sini, semalam.
Kemenangan dalam kategori Men Open membolehkan beliau membawa pulang RM1,500 dan piala iringan, manakala dalam kategori Veteran, beliau menerima RM1,000 dan piala iringan.
Tempat kedua bagi kategori Men Open disandang oleh Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo dari Buceros Cycling Club (RM1,200), diikuti rakan sepasukan Mohd Razif, Mohd Nor Umardi Rosdi di tempat ketiga (RM800 dan piala iringan).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapannya berkata, acara seperti ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform menyemai semangat kesukanan, gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat.
“Perlumbaan basikal di Sarawak mempunyai potensi besar untuk dikembangkan. Samarahan Bike Challenge contohnya, membuka ruang kepada pencarian bakat muda dan melahirkan lebih ramai pelapis sukan berbasikal,” ujarnya ketika menyempurnakan majlis penangguhan dan penyampaian hadiah.
Dalam kategori Veteran, tempat kedua dimenangi oleh Zulkifli Zulkefli dari CMCT Cycling Team (RM700), manakala tempat ketiga disandang Abu Bakar Abdul Wahab dari ABCT Victory Athlete (RM500).
Bagi kategori Youth Men, Awang Faries Danish Awang Faizal dari Buceros Cycling Club menjuarai perlumbaan, diikuti Muhammad Izzati Fatony dari CMCT Cycling Club di tempat kedua dan Muhammad Harraz Rudean dari Rudean58 Racing di tempat ketiga.
Kategori Junior Boys pula menyaksikan dominasi pasukan Buceros Cycling Club apabila Muhammad Danial Hakim Zulkaisi dan Afif Darwysh Mohamad Nazir masing-masing muncul juara dan naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi Sirhan Iman Samsul dari 58 Cycling Group.
Sementara itu, dalam kategori Sarawak Closed, kemenangan berpihak kepada Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo dari Buceros Cycling Club, diikuti Dzul Husni Narawi dari Masterpiece Cycling Club di tempat kedua dan Mohamad Saifullah Iskandar Razali dari Solidarity Cycling Club di tempat ketiga.
Dalam kategori Ladies Open, peserta dari negara Brunei, Alisa Lau dari pasukan Anak Brunei Cycling Team mudah menewaskan pencabar lain untuk muncul juara.
Tempat kedua dimenangi Yasrinnur Yakub dari Wakanda Cycling Club dan tempat ketiga disandang Dayang Nurdanisha Qistina Awang Heriwan.
Bagi kategori Youth Women, ketiga-tiga tempat teratas dimonopoli pasukan SCC Saratok dengan juara dimenangi Nur Ain Ramadhania Abdullah, naib juara Dania Syaza Samsul dan tempat ketiga Naina Adriana Idris.
Turut hadir Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak serta tetamu kehormat lain. -UKAS