
MARUDI: Mohd Ariffin Solhi berjaya menyingkirkan sembilan peserta lain apabila dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Sempena Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia 2025 bagi kategori dewasa.
Naib johan disandang oleh Izzayani Abdullah manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Haizan Shapiee.
Bagi dua peserta lain, Mohd Nur Eizzani dan Mohd Mahadir Hassan, masing-masing menerima hadiah saguhati.
Bagi kategori kanak-kanak, johan dimenangi oleh Siti Aisyah Rosaidy, tempat kedua oleh Ahmad Fiqri dan tempat ketiga Nicole Wong.
Pertandingan tersebut diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Pemindahan dan dianjurkan oleh Komuniti MADANI Kampung Pemindahan Marudi, malam tadi.

Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Siti Mariam Mahdar, mengucapkan tahniah serta syabas kepada barisan Ahli Jawatankuasa MADANI Kampung Pemindahan yang diketuai oleh Pengerusi, Hajijah Dollah, atas kejayaan penganjuran pertandingan tersebut.
Menurut beliau, komitmen ahli jawatankuasa dalam menganjurkan majlis ini sangat dihargai, begitu juga dengan sokongan daripada peserta serta penduduk kampung yang memberikan kerjasama baik sepanjang acara berlangsung.
Tambah beliau, pertandingan sebegini dapat mengeratkan tali perpaduan dan silaturahim antara penduduk Kampung Pemindahan yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Kampung Pemindahan Bahagian Melayu, Kampung Pemindahan Cina dan Kampung Muhibbah yang terdiri daripada masyarakat Orang Ulu.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan penduduk Kampung Pemindahan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah sebagai tanda menyambut Hari Kebangsaan hari ini serta sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.
Sementara itu, Pengerusi MADANI Kampung Pemindahan, Hajijah Dollah, berkata tujuan utama pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Katanya, ini merupakan kali pertama pertandingan seumpama ini diadakan di Kampung Pemindahan dan beliau bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
Beliau juga berharap Komuniti MADANI akan menganjurkan lebih banyak aktiviti yang lebih baik pada masa akan datang.
Oleh Jiku Juguong