
SEBUYAU: Cadangan Ketua Kampung Jalan Giat Mara, Sebuyau untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut mendapat perhatian dan sokongan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur komuniti serta merangsang pertumbuhan aktiviti sosial dan ekonomi setempat.
“Saya mendengar dengan teliti cadangan Ketua Kampung yang mahu kawasan ini dinaik taraf. Saya bersetuju dengan hasrat tersebut dan mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada infrastruktur asas seperti jalan masuk utama kampung ini,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Joran Bidik anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jalan Giat Mara, di sini, semalam.
Beliau menyarankan agar jalan masuk ke kampung diperluas terlebih dahulu bagi memberi kemudahan kepada pengunjung luar, selain memperbaiki sistem parkir dan lalu lintas ketika penganjuran acara.
“Kita mahu kampung ini menjadi lokasi pilihan untuk program berskala besar. Maka, persekitarannya perlu selesa, selamat dan mesra pengunjung,” tambahnya.
Shafizan turut menggesa pihak JKKK dan Ketua Kampung untuk mengemukakan permohonan rasmi bagi pelebaran jalan serta merangka pelan jangka panjang menaik taraf kemudahan fizikal lain seperti pentas, pondok teduhan dan kawasan rehat.
Dalam pada itu, beliau memuji kejayaan penganjuran Pertandingan Joran Bidik yang menarik penyertaan dari luar, termasuk peserta dari Brunei dan Semenanjung Malaysia.
“Program sebegini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, tetapi turut membuka potensi ekonomi setempat. Saya akan terus menyokong sebarang inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Sokongan beliau terhadap cadangan naik taraf ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kemudahan luar bandar dan menjadikan Sebuyau sebagai destinasi pilihan untuk pelbagai aktiviti komuniti. -UKAS