
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri mengucapkan tahniah kepada Kelab Tinju Joseph Harry (JHBC) Saratok yang cemerlang dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, yang berakhir malam tadi.
Beliau berkata, pencapaian pasukan itu amat membanggakan apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa sepanjang kejohanan kali ini.
Petinju berbakat, Lemuel Merupie Salim menjadi sandaran utama apabila menghadiahkan pingat emas tunggal buat pasukan JHBC.
Sementara itu, tiga pingat perak masing-masing disumbangkan oleh Donovan Ukak Dasang, Muhammad Danish Ariel Zainal dan Jackson Jinggan Willision selepas menampilkan aksi yang penuh bersemangat di gelanggang.
Tidak kurang hebatnya, empat lagi pingat gangsa berjaya dikutip menerusi Amirul, Muhammad Faris Akmal Azaha, Muhammad Zulfadli Hidayat Abdullah dan Emmanuel Bungkong.
“Syabas dan tahniah kepada pengurusan JHBC Saratok serta pihak penganjur kerana kejohanan ini berjaya menghimpunkan 123 petinju termasuk dari Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura,” katanya.
Menurut Mohamad Duri, penganjuran berprestij itu bukan sahaja medan mengukur kemampuan atlet tempatan, malah platform penting untuk mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan belia Saratok.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif pembangunan sukan di peringkat akar umbi agar lebih ramai anak muda Sarawak dapat diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Oleh Adi Safarman