
PETRA JAYA: Mohamad Daud Ahmad dari Bintulu muncul johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-39 peringkat negeri Sarawak menerusi puisinya berjudul Kita Berpencak Lagi Ogos Ini, karya Shamsul Idzam Jamil.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan beliau mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Melaka pada 14 Ogos 2025.
Naib johan pula disandang oleh Khalid Husseine Tuah dari Limbang-Lawas dengan deklamasi puisi Degup Nuraini karya Mohamad Saleeh Rahamad, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Syafaat Zainal Abidin dari Kuching melalui puisi Naluri Pewaris Bangsa karya Zainal Mohd. Jais.


NAIB johan, Khalid Husseine Tuah dari Limbang-Lawas dan tempat ketiga, Syafaat Zainal Abidin dari Kuching
Acara yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak ini merupakan hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).
Sebanyak 10 peserta akhir dari pelbagai daerah di Sarawak tampil mempersembahkan puisi pilihan masing-masing, membawa mesej perjuangan dan semangat patriotik yang mendalam.
Sayembara ini menjadi wadah penting bagi penyair dan pendeklamator menyuarakan pemikiran serta nurani mereka mengenai makna kemerdekaan, sejarah perjuangan bangsa dan nilai-nilai kebangsaan yang wajar terus disemai dalam kalangan generasi muda.
DBP Sarawak melihat penganjuran ini sebagai satu tanggungjawab berterusan dalam menghidupkan kembali kegemilangan sayembara yang pernah menjadi acara tahunan paling dinantikan suatu ketika dahulu.
Selain menjadi platform mencungkil bakat muda, sayembara ini turut berperanan sebagai ruang pertemuan para penyair dan penggiat seni tempatan untuk bertukar idea serta mengangkat puisi sebagai cerminan perjuangan dan catatan sejarah bangsa.
Sayembara ini bukan sekadar pentas memperingati kemerdekaan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan warisan bangsa yang kaya nilai dan makna.
Oleh Adele Rissa