Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • MoF beri amaran keras penggunaan MyKad orang lain tanpa izin bagi transaksi BUDI95
  • NASIONAL

MoF beri amaran keras penggunaan MyKad orang lain tanpa izin bagi transaksi BUDI95

Utusan Sarawak 10 hours ago
MoF beri amaran keras salah guna MyKad orang lain untuk tuntut subsidi BUDI95.

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MoF) memberi amaran keras terhadap penggunaan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

MoF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius beberapa aduan mutakhir melibatkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program BUDI95.

Menurut kementerian itu penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.

MoF juga telah mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95. 

“Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” menurut MoF.

Selain itu syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat.

“Ia termasuk memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

“Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan,” maklum MoF.

Menurut kementerian itu, syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

“MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” menurut kenyataan itu. 

Penerima BUDI95 digalakkan untuk menyemak rekod transaksi mereka di portal https://www.budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

Bagi penerima BUDI95 yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) dengan melampirkan dokumen yang diperlukan untuk tindakan selanjutnya.

Dokumen yang perlu dikemukakan adalah laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak berkaitan; salinan kad pengenalan; dan senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis.

Aduan boleh dikemukakan kepada BMCC melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595, atau e-mel ke tanya@budi95.gov.my yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

MoF menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat MyKad dengan mana-mana pihak bagi tujuan transaksi subsidi. – Bernama

Continue Reading

Previous: Saifuddin Nasution zahir penghargaan komitmen Arab Saudi pastikan kelancaran haji
Next: Dr Jeswant rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.