
KUCHING: Pameran Modern Living Home Expo yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Metrocity (MCC), Metrocity berjaya menarik kehadiran lebih 60,000 pengunjung, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi bagi acara seumpamanya setakat ini.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman ketika mengadakan tinjauan mesra ke tapak pameran, menzahirkan komitmen DBKU dalam menyokong penganjuran program berkonsepkan kelengkapan rumah yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“DBKU amat mengalu-alukan penganjuran seperti ini kerana ia memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi di kawasan pentadbiran kami, khususnya dalam fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa DBKU bersedia memberikan sokongan penuh terhadap sebarang penganjuran acara seumpamanya pada masa akan datang sebagai langkah memperkasa ekonomi tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Pengurus Jualan, Nicholas Tiong memaklumkan bahawa jumlah kehadiran pengunjung kali ini jauh mengatasi rekod yang dicatatkan semasa penganjuran terdahulu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Februari lalu.
“Sehingga tengah hari tadi, jumlah pengunjung telah melebihi 60,000 orang dan kami menjangkakan angka ini terus meningkat menjelang penutupan pameran, memandangkan ramai pengunjung cenderung hadir pada saat akhir untuk merebut tawaran istimewa daripada para pempamer,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 300 ruang pameran telah disediakan kepada 80 syarikat tempatan dari sekitar Kuching, yang mempamerkan pelbagai produk termasuk peralatan elektrik terkini, kelengkapan rumah, perabot moden serta perkakasan pertukangan.
Lokasi MCC dipilih berikutan kedudukannya yang strategik dan mudah diakses, berbanding lokasi terdahulu, yang turut menjadi antara faktor utama peningkatan signifikan jumlah pengunjung edisi kali ini.
Oleh Amanda L.