
KUCHING: Sarawak perlu mengekalkan sistem Sell-then-Build (STB) atau jual-dulu-bina-kemudian kerana ia terbukti paling sesuai untuk pasaran perumahan negeri ini, kata Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda), Dato Sim Kiang Chiok.
Menurut beliau, sistem STB yang diamalkan di Malaysia memberi peluang lebih ramai rakyat memiliki rumah dengan kos permulaan lebih rendah berbanding model Build-then-Sell (BTS) atau bina-kemudian-jual.
“Keunikan sistem STB ialah perkongsian risiko secara adil antara pemaju, pembeli dan institusi perbankan. Di Sarawak, pembeli turut dilindungi di bawah Ordinan Pembangunan Perumahan (Pengawalan dan Perlesenan) 2013, manakala di Semenanjung perlindungan sama diberikan melalui Akta Pembangunan Perumahan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, kerangka undang-undang tersebut memastikan pemaju berlesen, kontrak perumahan distandardkan, manakala dana projek dipantau melalui Akaun Pemajuan Perumahan.
Pembeli bukan sahaja dilindungi bank melalui pembiayaan progresif, tetapi juga jaminan undang-undang yang kukuh.
Tambah beliau, sistem STB turut membuka ruang kepada penyertaan pemaju kecil dan sederhana kerana mereka tidak perlu menyediakan modal penuh sebelum memulakan projek. Penyertaan pelbagai pemaju ini mewujudkan persaingan sihat sekali gus menstabilkan harga rumah.
“Sebaliknya, sistem BTS akan meletakkan hampir semua risiko di bahu pemaju. Hanya syarikat besar dengan modal dan pembiayaan bank yang kukuh mampu bertahan, manakala pemaju kecil akan tersisih. Akhirnya persaingan berkurang dan harga rumah melonjak, yang paling terkesan ialah pembeli rumah pertama,” ujarnya.
Dato Sim berkata, Sarawak berada dalam fasa pembangunan dengan permintaan perumahan yang tinggi akibat penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar serta pertambahan populasi. Justeru, sistem BTS jika dilaksanakan sekarang hanya akan memperlahankan pembangunan dan menambah jurang bekalan rumah.
“Jalan ke hadapan bukan membubarkan sistem STB, sebaliknya memperkukuhkannya dengan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pemaju yang cuai serta meningkatkan kesedaran pengguna. Langkah ini memastikan pembeli terus dilindungi, sementara pemaju pelbagai saiz dapat terus membekalkan rumah mampu milik,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan bahawa sistem jual-dulu-bina-kemudian kekal sebagai pilihan paling praktikal dan mampan untuk Sarawak, memandangkan ia menyokong keterjangkauan, meningkatkan persaingan dan sesuai dengan tahap pembangunan negeri ini.