
SIMANGGANG: Strategi memperkasa usahawan Bumiputera melalui pemilikan dan penggunaan aset fizikal membuahkan hasil apabila inisiatif sewaan jentera Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) berjaya mencatatkan jualan memberangsangkan sehingga RM100,000 setahun.
Pencapaian tersebut didedahkan semasa Sesi Libat Urus Jentera DUBS Holding Sdn Bhd Fasa Dua yang memberi tumpuan kepada penyelarasan operasi serta pengukuhan kerjasama strategik antara pengurusan peringkat negeri dan cawangan.

Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Abdillah Majid berkata, sumbangan jentera seperti excavator yang disalurkan menerusi sokongan padu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Menurut beliau, prestasi operasi inisiatif tersebut berada pada tahap yang amat memuaskan apabila hasil jualan tahunan mencecah RM100,000, sekali gus membuktikan program berkenaan bukan sekadar bantuan bersifat sementara, sebaliknya menjadi pemangkin pendapatan yang berkesan dan mampan kepada ahli DUBS.
Abdillah turut menjelaskan bahawa bagi memastikan momentum kejayaan ini berterusan, beberapa aspek penting akan diberi penekanan pada fasa seterusnya termasuk penganjuran latihan kompetensi khusus kepada pemandu jentera.

Selain itu usaha memperluas skim sewaan agar lebih ramai ahli dapat menikmati kemudahan tersebut menjelang tahun ketiga operasi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lawatan teknikal yang dilaksanakan di Kampung Melayu Bakong semalam bertujuan memastikan setiap aset berada dalam keadaan optimum serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi menjamin keselamatan dan kelangsungan operasi.
Sementara itu, wakil DUBS Holding Sdn Bhd, Abang Ishak Abang Ahmad mengingatkan para usahawan agar sentiasa mengamalkan tadbir urus yang telus dan berintegriti, khususnya dalam pengurusan sewaan jentera.
Beliau menegaskan bahawa setiap transaksi sewaan perlu disertakan dengan perjanjian bertulis bagi melindungi kepentingan semua pihak serta mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Iskandar Sharkawi dari DUBS Holding mengesahkan bahawa siri kursus kompetensi serta sesi pengurusan mesin secara dalam talian akan dipergiatkan bermula tahun hadapan bagi memastikan usahawan Bumiputera terus relevan dan berdaya saing selari dengan spesifikasi industri semasa.
Program yang diadakan ini membuktikan bahawa dengan pengurusan yang sistematik serta sokongan kerajaan yang tepat, usahawan Bumiputera berpotensi besar untuk menguasai sektor perkhidmatan jentera di Sarawak secara lebih menyeluruh dan berdaya tahan.
Turut hadir wakil DUBS Holding, Sadbini Abang, wakil Majlis Eksekutif DUBS Sarawak dan Naib Pengerusi DUBS Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari, Setiausaha DUBS Sri Aman, Abdillah Ahmad, Bendahari, Chelsea Tari serta Awangku Hafizul Awang Azahari dan Man Kasim.
Oleh Adi Safarman