SESI LIBAT URUS…. Datuk Seri Adham Baba ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Industri Nano Tempatan
di kementeriannya semalam. • Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysian Nanotechnology Industrial Group (MNIG) akan ditubuhkan pada suku ketiga 2022 bagi menghimpunkan peserta industri nano di Malaysia serta menjadi suara industri nano tempatan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Beliau berkata, MNIG akan berperanan sebagai platform kerjasama antara syarikat nanoteknologi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta membantu penyelarasan antara syarikat dalam rantaian bekalan produk nanoteknologi.
Penubuhan MNIG mengambil kira cadangan dan keperluan industri termasuk mendapatkan pandangan daripada persatuan, selain disebabkan ketiadaan persatuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) nanoteknologi yang dipandu oleh industri pada masa ini, katanya.
“Ia (MNIG) diharapkan menjadi platform terbaik ke arah penglibatan lebih banyak industri dalam bidang nanoteknologi seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus secara hibrid bersama lebih 30 wakil syarikat nanoteknologi di sini, pada Selasa.
Beliau berkata sesi libat urus itu bertujuan berkongsi dasar, pelan dan aktiviti industri nanoteknologi negara di samping mendapatkan pandangan dan maklum balas pihak industri berkenaan cabaran dan masalah yang dihadapi dalam ekosistem nanoteknologi.
Dr Adham berkata sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi memberi banyak faedah sosioekonomi kepada Keluarga Malaysia termasuk mewujudkan 33,391 peluang pekerjaan selain menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Beliau berkata produk nano di pasaran Malaysia berjumlah lebih 900 produk yang bernilai RM381.8 juta sehingga 2020.
Ketika ditanya mengenai masalah dan cabaran yang disuarakan peserta industri nanoteknologi dalam sesi libat urus itu, beliau berkata dua perkara dibangkitkan iaitu kekurangan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap produk dan teknologi nano, serta kekurangan bahan mentah.
“Kebanyakan produk nano yang dibangunkan di negara kita adalah dieksport.
“Jadi, kita akan mula membuat gerakan untuk beri kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya produk-produk nano,” katanya.
Beliau berkata antara produk nano yang popular di Malaysia ialah teknologi ‘graphene’ yang digunakan untuk sektor kenderaan elektrik (bateri) dan juga bahan tambahan kepada minyak pelincir. – Bernama