
KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) perlu mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti etika bersesuaian dalam pelaporan serta penyiaran video berkaitan nahas atau tragedi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu perlu berikutan aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai beberapa klip video berkaitan kemalangan yang disiarkan sepenuhnya tanpa tapisan oleh akaun media sosial milik syarikat media.
Beliau berkata tindakan memuat naik rakaman berkaitan tragedi atau nahas seperti rakaman kamera papan pemuka kenderaan tanpa saringan terutama yang mempunyai elemen tragis dan beremosi dikhuatiri menimbulkan kesan trauma kepada penonton.
“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana pada waktu ini kita belum lagi mengekang yang berusia 16 tahun ke bawah (menggunakan media sosial), jadi mungkin yang menonton itu adalah dalam kalangan kanak-kanak.
“Jadi perlu ada perbincangan segera untuk mengenal pasti langkah seimbang antara pelaporan dan juga mungkin kandungan video yang boleh dianggap terlalu grafik seperti berlumuran darah,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkaitan kerjasama mengekang aktiviti scam atau penipuan antara MCMC dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi taklimat media berkaitan garis panduan kandungan dianjurkan MCMC semalam yang didakwa sesetengah pihak sebagai tindakan bertentangan amalan kewartawanan yang memerlukan kebebasan serta ketelusan maklumat kepada umum.
Mengulas lanjut, beliau berkata segala tindakan dilakukan MCMC adalah berlandaskan undang-undang dan berpandu kepada aduan diterima.
“Jadi tidak hanya melibatkan media… bab media itu adalah dari segi pelaporan dan sekiranya ada akaun-akaun orang awam yang menunjukkan contoh keganasan melampau ataupun yang melanggar panduan komuniti bagi mana-mana platform, maka platform sendiri akan ambil tindakan.
“Untuk pengamal media, kita minta supaya kawalan kendiri itu dilaksanakan, cuma perbincangan itu perlu juga diadakan. Wajar kita berikan peluang untuk industri berkumpul dan membincangkan bersama mengenai perkara ini,” katanya. – Bernama