
KUCHING: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) digesa agar terus memainkan peranan proaktif sebagai rakan strategik kerajaan Sarawak dalam membangunkan sistem kesihatan yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata MMA sebagai suara bersatu komuniti perubatan negara mempunyai pengaruh besar dalam memacu peralihan pendekatan penjagaan kesihatan daripada rawatan penyakit kepada pencegahan dan pemeliharaan kesihatan, khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit.
“Peranan MMA kini semakin penting seiring keperluan transformasi digital dalam sektor kesihatan, termasuk penggunaan telekesihatan, sistem data dan teknologi bagi merapatkan jurang perkhidmatan antara kawasan bandar dan luar bandar.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-53 Persatuan Perubatan Malaysia Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
“Dasar kesihatan yang berkesan mesti mengambil kira realiti Sarawak, daripada cabaran geografi hingga keperluan komuniti pedalaman, dan ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan badan profesional seperti MMA,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengiktiraf MMA sebagai platform penting bagi maklum balas profesional kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Sarawak, selain memperjuangkan standard etika, kualiti perkhidmatan dan kebajikan petugas kesihatan.
Keahlian lebih 17,000 doktor di seluruh negara termasuk lebih 1,600 di Sarawak, MMA juga berperanan besar dalam pembangunan modal insan kesihatan melalui latihan berterusan, advokasi profesional dan sokongan kepada penggubalan dasar berasaskan bukti.
Dr Sim yang pernah menerajui MMA Cawangan Sarawak sebelum ini berkata penglibatan aktif persatuan itu amat penting bagi memastikan pelaksanaan Pelan Induk Kesihatan Sarawak selari dengan keperluan sebenar di lapangan serta menyokong usaha negeri mengekalkan bakat perubatan tempatan.
Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa MMA agar terus bergerak seiring dengan pembangunan Sarawak supaya sistem kesihatan negeri ini bukan sahaja berdaya saing, malah mampu menjadi contoh dalam pembinaan negara berteraskan kesihatan.
Oleh Adele Rissa