Oleh: Marilyn Albert Matu
Sebelum aku memasuki gedung ilmu itu, mentalitiku sudah mapan. Aku perlu memantapkan CGPA pada setiap semester agar aku dikecualikan daripada membayar balik pinjaman PTPTN iaitu dengan menjadi Graduan Ijazah Kelas Pertama. Berkorban dengan memerah otak siang dan malam demi masa depan yang cerah. Sentiasa terbayang akan raut wajah kedua-dua orang tuaku yang sudah senjanya usia mereka. Tipulah kalau aku tak pernah mengalirkan kristal-kristal air mata kerinduanku yang tak terbendung kepada mereka di kampung halamanku.
“Saya harap semua akan lakukan yang terbaik. Kalau tidak… kita berjumpa lagi pada semester depan”
Aku yang duduk di barisan hadapan bilik kuliah memerhatikan saja gelagat pensyarahku yang sedang memasukkan pointer laser ke dalam beg. Fikiranku telah melayang sebenarnya pada 30 minit terakhir dan pada masa yang sama perutku berkeroncong meminta Laksa Sarawak.
Jam tepat menunjukkan pukul 6.30 petang. Pakaianku di ampaian masih lagi melambai-lambai di balkoni. Perjalananku dari fakulti menuju ke asramaku memakan masa lebih kurang setengah jam berjalan kaki. Aku mempercepatkan alunan kakiku yang sedang melemah. Tingkat tiga betul-betul menyeksaku. Bau badanku kian menyengat. Kali ini luar biasa baunya. Aku sudah tidak peduli. Bau pembawaan panas terik bersilih ganti dengan hujan lebat pada hari yang sama. Aku berseloroh, hanya dengan mengamalkan aktiviti turun naik tangga asramaku sahaja sudah memadai letihnya. Titisan peluhku jatuh ke bumi.
Baru sahaja aku melangkah ke tingkat dua bangunan asramaku, mataku tertonjol akan kelibat seseorang yang duduk bersandar di penjuru dinding. Aku tercegat di situ. Dia keesak-esakan menangis. Wanita yang berumur awal 20an itu mengesat air matanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Tiada peralatan tajam di sekeliling. Tiada pil bertaburan. Hanya seutas beg berjenama tempatan berona hitam di sisinya. Keadaan agak selamat. Tidak menunjukkan sisi curiga kepadaku. Badanku cuba merapati badannya dengan duduk bersebelahan. Lalu perlahan-lahan aku menyapanya. Aku toleh ke kiri dan ke kanan, tiada juga yang lalu-lalang di situ.
“Aku stres…orang lain tak faham apa yang aku sedang lalui…lebih baik aku…”
Dia mula menjawab persoalan pertamaku. Bunyi sedu sedannya mengiringi tangis hiba menjadi petanda dia memerlukan seseorang untuk bersamanya. Dia memerlukan sokongan moral dan emosi! Aku pun tanpa berfikir panjang telah memeluknya dengan erat. Aku pun menawarkan diri untuk meluangkan masa bersamanya sampailah dia mengembalikan keinginannya untuk masuk ke dalam biliknya yang bernombor 244. Tangan ini dengan pantas menghulurkan sebotol air berperisa lemon yang kubeli dari mesin layan diri di fakultiku sebelum memasuki kelas Dr. Tamzik. Semangat inkuiriku begitu mengasyikkan diriku. Dia mula meneguk air berkenaan. Rintihannya sedikit-sedikit terluah.
“Boleh kau cerita apa sahaja yang tak pernah kau cerita dengan orang lain? Dia bertanya kepadaku kembali. Nampak gayanya aku sudah meraih kepercayaannya.
Banyak versi cerita yang aku ceritakan kepadanya sebagai tanda perkongsian ilmu pengetahuan kepadanya. Tambahan pula, kemahiran bercerita merupakan teknik yang berkesan menjelangnya musim peperiksaan. Jadi, aku aplikasikanlah sebaiknya untuk perihal yang lain. Cerita berdasarkan pengalaman yang aku alami sendiri. Tak semua orang mampu bercerita kepada orang lain dalam keadaan jiwa yang lemah sepertinya. Bukanlah aku ini membuka pekung di dada. Aku dengan rela hati membuka mulut bercerita.
Jauh di sudut hatiku, ada kisah yang tak ingin aku ceritakan kepada umum. Kali ini sebagai layanan eksklusif aku pun membuka mulut bercerita. Aku sudah tidak mahu mengenang kembali saat itu sekiranya ada yang bertanya lagi selepas ini. Khuatir informasi dimanipulasi. Sebenarnya aku pernah menjadi mangsa buli semasa di sekolah menengah. Bukan salah aku secara total. Cuma pada ketika itu sangat naif dan belum mampu berfikir secara asertif. Maklumlah otak remaja pada ketika itu sedang berkembang. Kepetahanku bercerita dengan orang lain sebenarnya membuka peluang kepada orang lain untuk menganiaya aku. Aku yang terlalu berhusnuzon sebenarnya menjadi satu bahana buatku. Walhal aku hanya berkongsi cerita yang disampaikan oleh orang lain tanpa mengubah apa-apa pun. Rupa-rupanya dalam diam ada seorang pendengar menjadi seorang penyampai dan manipulator. Gunting dalam lipatan. Macam-macam versi ceritaku dengar dan mengundang pelbagai spekulasi dan kontroversi. Aku diberikan gelaran dengan nama yang tak enak dan manis didengar. Ada sahaja alasanku untuk tidak hadir ke sekolah. Aku mengambi keputusan kendiri dengan berehat sahaja di rumah untuk menenangkan fikiranku. Beberapa hari aku terperuk di dalam bilik. Jari dan tanganku kerap menggigil bukan kerana kesejukkan. Hilang selera makan dan minat dalam apa jua yang perkara aku sebelum ini kerjakan sebagai rutin harianku. Menangis seharian dengan mengulang tayang peristiwa yang menyakitkan sukma di dalam mindaku. Untuk mencari titik silap aku dulu. Dengan harapan apabila mentalku dah stabil, barulah aku kembali ke sekolah. Aku yang tak pernah ponteng sebelum ini telah bertindak di luar kebiasaan iaitu dengan tidak berdisiplin. Terutamanya apabila adanya subjek yang memerlukan pelajar-pelajar dari kelas lain untuk bergabung di dalam kelas yang sama. Ibu bapaku pun mula syak sesuatu yang tidak kena ke atas diriku. Pernah sekali mereka menanyakan aku asbab aku boleh tidak hadir ke kelas selama tiga hari berturut-turut sedangkan fizikal aku sihat belaka. Naluri ibu bapa begitu kuat. Aku mula belajar untuk menipu. Memberikan jawapan yang semberono. Aku terpaksa!
Aku tidak kuat! Ujian ini sangat berat buat diriku yang berumur 15 tahun pada ketika itu. Aku mula tidak menyayangi diriku dengan menyalahkan diri sepenuhnya. Membina sarang kebencian terhadap diriku sendiri. Anggapanku pada ketika itu ialah semua orang sebulat suara telah memilih untuk tidak memahamiku. Semua kulihat sebagai ancaman terhadap diriku.
“Apa terjadi kepada kau selepas itu?”Sengau suaranya bertanya kepadaku. Nadanya agak lemah lembut. Seayu orangnya. Dia begitu ralit mendengar kisah dukacitaku.
Aku menjadi sangat stres. Kudratku menjadi lemah. Kerap beraura negatif. Mimpi-mimpiku juga menghantui diriku. Ketenangan yang aku pinta, tak kunjung tiba. Aku juga tidak merujuk kepada guru kaunselingku. Stereotaip orang di sekelilingku pada waktu itu, apa yang boleh mendatangkan stres dalam kalangan remaja belasan tahun? Lainlah orang dewasa yang mempunyai bebanan dan komitmen yang pelbagai. Boleh saja aku menyangkal stereotaip tersebut seandainya aku yang dahulu ialah aku yang sekarang ini. Aku terlupa yang aku juga seorang manusia. Mempunyai hati dan perasaan. Sebagai manusia kompleks, kualiti kehidupan berjalan seiring dengan tahap kesihatan mental.
Hanya berdiam diri walaupun ditampar bergilir-gilir semasa aku menaiki tangga menuju ke kelasku. Aku hanya mampu menangis. Segerombolan pelajar perempuan yang lain sudah berkomplot menantiku di situ. Pelajar lain yang tidak berkaitan, diusir segera dari melalui premis tersebut. Bukan main tunjuk lagak! Kalau seorang, pijak semut pun tak mati. Tiada siapa pun yang sudi datang mempertahankan diriku. Raungan hatiku meminta ihsan hanya bergema di alam duniaku sendiri. Aku seharusnya tahu makna defensif. Malangnya, aku tidak tahu.
Namaku telah dipanggil oleh seorang guru kaunseling yang pada itu baru sahaja ditempatkan di sekolahku. Mengambil jurusan Kaunseling di sebuah universiti impianku. Aku cuba menggagahkan diri dengan mengikuti beberapa sesi kaunseling bersamanya seperti yang disarankan. Mengambil iktibar akan kisah yang telah menyentuh sukmaku iaitu berdamai dengan takdir. Masih jauh lagi perjalanan hidup untuk diterokai. Masih ramai lagi orang baik akan dipertemukan dengan diri nanti.
“Apakah keputusan selepas kau mengikuti sesi kaunseling tersebut?
“Aku berjaya juga meraih pelbagai kejayaan… Selepas patuh akan jadual yang khas diberikan kepadaku oleh guru kaunselingku. Inilah diriku sekarang ini. Hasil kebangkitan semangat membara untuk masa depan yang cemerlang” Panjang berjela aku beriya-iya berkongsi cerita dengannya. Aku rasa dihargai pun ada.
Aku memberikan nasihat kepadanya, terserah kepadanya untuk menilai sendiri. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Itulah tahap kewaspadaan aku ketika berkenalan dengan rakan baru. Tidak semua orang boleh dijadikan sahabat. Aku set satu sempadan yang sangat jelas. Kualiti versus kuantiti. Aku juga menghormati privasiku sendiri. Aku tak ingin menganiaya diriku sendiri lagi. Kena bertindak secara bijaksana seandainya perkara yang seakan-akan sama berulang kembali. Cukuplah hanya sisa-sisa peristiwa hitam lepas mengajarku erti simpati dan empati. Mustahillah aku lupakan. Sesungguhnya, aku pun tidak berdendam. Banyak lagi perkara positif akan terjadi di dalam hidupku nanti.
“Wah, hebatnya!” Berubah betul air mukanya. Menjadi cerah. Kering sudah air mata di pipinya.Tidak lagi dia menyeka air mata. “Itu semua dari dalam diri kita sahaja sebenarnya. Terbitnya kesedaran dalam hati untuk berubah, jangan berlengah-lengah…” Nasihatku lagi. Memberikan pengharapan kepadanya. Langkah seribu bermula dari langkah pertama. Ingat, pembawaan diri sangat penting. Kena perhatikan dulu tindak-tanduk seseorang. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.
“Ternyata kisah kau lagi teruk daripada kisahku…” Dia cuba berbicara perlahan dan aku anggap dia memahami intipati ceritaku. Aku pun taklah tergesa-gesa meminta dia bercerita dengan lebih lanjut akan pergolakan emosinya itu. Cukuplah aku menggunakan akal fikiranku yang ketika ini masih waras walaupun berlambak tugasan memanggil indah namaku.
“Sebab itulah kita perlu sentiasa bersyukur. Berkongsilah suka-duka dengan orang yang tersayang terutamanya ahli keluarga kita” Tambahku lagi.
“Di universiti, ada ramai kaunselor bertauliah. Kalau kau tak nak berjumpa dengan mereka pun, kau boleh berjumpa juga dengan rakan-rakan dari pengajian Kaunseling. Mereka bersedia membantu kau…” Aku yang kehabisan kata cuba merungkaikan tali misteri yang sedang berpintal di sanubariku. Bukan bermaksud aku ingin mencampuri urusan peribadinya. Prihatin. Sebagai seorang wanita yang memiliki simpati dan empati terhadap wanita yang sedang dirundung masalah, aku cuba menepis perasaan maluku. Minggu ke-13 macam-macam boleh jadi. Kena kental dari pelbagai sudut. Kena seimbang segala aspek.
Tangan kiriku terangkat sedikit untukku melihat jam yang melekat erat pada tanganku. Alamak,pukul 7:10 malam! Jam analogku tak pernah berbohong. Aku kena balik segera ke bilikku. Pada jam 8:30 malam nanti aku kena sambung kembali slaid pembentanganku yang akan diadakan pada hari Khamis depan. Aku kena mengundurkan diri dan memberikan kata-kata motivasi yang terakhir untuknya. Belum sempat mulutku menutup bicara bersama seorang gadis bernama Samsiah di depanku, aku merasakan adanya satu energi yang sangat kuat. Aku cuba berundur sedikit. Energi aneh tersebut telah memusingkan seluruh badannya yang bersalut kain putih dengan kecepatan yang pantas sebelum terbang tinggi ke dada langit! Aku macam tak percaya! Ini tidak logik akal! Bukan hanya itu sahaja, disertai juga dengan hilaian tawa yang berpanjangan dan menyeramkan! Seakan-akan aku sedang menonton filem seram seorang diri pada tengah malam Jumaat. Meremang bulu-bulu romaku. Mujur sahaja jantungku tak tercabut. Kedinginan tiba-tiba menyelubungi badanku. Kepulan asap tebal pula mengaburi kedua-dua mataku. Seluruh badanku mula menggigil. Aku ketakutan! Cuma nafasku menjadi semakin sesak…sesesaknya… Alam di sekelilingku pula berpusar-pusar… Aku ingin bersuara tapi satu aksara pun tidak terungkap! Aku akhirnya…
Pensyarah sendiri dengan ringan mulut menanam tebu di bibir tempoh hari. “Pembentang terbaik akan menerima hadiah misteri daripada saya” Masih terngiang-ngiang lagi di telingaku akan satu pengharapan yang membuatkan adrenalin mengalir deras pada ketika itu. Salah satu dorongan untukku menjadi pembentang yang lantang membicarakan topik yang telah diamanahkan oleh pensyarahku yang tegas itu. Aku ingin menjadi pembentang yang terbaik!
“Cik Mymyn, kamu boleh berehat selama tiga hari…Jangan risau saya akan berikan surat sijil sakit kepada pensyarah kamu”
Aku yang masih lagi samar-samar penglihatan memberikan fokus ke arah Stetoskop yang bergantungan di lehernya.
“Terima kasih, Doktor Haismas…Boleh saya tahu siapa yang telah menghantar saya ke sini?” Tanyaku sambil memegang bucu lengan kot doktor wanita yang serba putih tersebut seusai aku tersedar dari tidur yang lena di situ.
Beliau bertugas di Pusat Kesihatan Uni dengan tag nama Haismas. Inilah kali pertama aku berada di situ. Sebelum ini tak pernah langsung aku ke situ untuk menerima apa-apa jenis rawatan kerana tahap kesihatanku baik-baik sahaja. Fobia berjumpa dengan doktor sudah lama kuhilangkan. Fobiaku bermula apabila dua batang gigiku dicabut serentak semasa aku berada di bangku sekolah rendah lagi. Tanganku berlumuran darah. Kesakitan yang kurasakan bukan kepalang! Aku menangis seharian. Sejak dari peristiwa itu, aku menjaga kesihatan tubuh badanku. Aku takut mahu bersemuka dengan doktor.
“Oh, tukang sapu yang menelefon unit kecemasan uni selepas dia melihat Cik Mymyn pengsan di tingkat dua sekitar jam lapan malam…” Tanpa ragu-ragu menjawabku. Dia pun menuju ke mejanya untuk memberikan aku dokumen yang aku perlukan. Paras rupa doktor tersebut agak biasa kulihat tetapi aku tak pasti di mana.
Mujur ada Mak Cik Gondy menemukan aku pengsan. Kalau orang lain, aku tak pastilah sama ada aku masih di alam ini atau alam lain seperti Samsiah. Doktor tersebut memberikan aku beberapa ubat-ubatan dengan penjelasan bagi setiap preskripsi. Aku meminta penjelasan daripadanya akan punca aku pengsan. Aku hanya mengalami keletihan yang melampau katanya. Tambah lagi hormon bulanan wanitaku turut mengganggu rutinku dari segi emosi. Aku akhirnya menghela nafas lega. Sekembalinya aku ke asrama, aku dengan sengajanya melencong ke tingkat dua menuju ke arah bilik 244. Aku tidak bersendirian. Aku bersama dengan beberapa orang rakanku yang sudi menemaniku. Aku menceritakan kisah pelikku semuanya kepada mereka. Semasa memeriksa, kami dapati tiada langsung bilik bernombor 244. Tiada juga nama penghuni di tingkat dua bernama Samsiah. Yang ada hanyalah Samisah. Dia langsung tidak mirip dengan Samsiah yang berjaya membuatkan aku jatuh pengsan. Jauh panggang dari api. Misteri pencarian Samsiah menemui jalan buntu. Misi kami petang itu kecundang. Masing-masing balik ke bilik. Mereka pun berasa sangat sangsi terhadap diriku.Aku yakin aku masih waras!
Malam itu sebelum melelapkan mataku, aku cuba untuk menelan beberapa ubat yang pastinya pahit belaka sama seperti preskripsi doktor. Ubat ini menyebabkan kesan mengantuk. Sesuai dimakan pada waktu malam. Aku baca terlebih dahulu salah satu ubat yang wajib kutelan pada waktu malam. Kemudian, baru mengambil segelas air suam. Baru sahaja beberapa minit menelan ubat dengan beberapa tegukan air, aku mula perasan ada seutas beg berona hitam di atas meja belajarku. Sama seperti beg yang dimiliki oleh Samsiah! Aku masih ingat itu! Aku cuba mendapatkan beg tersebut dengan cepat-cepat membuka zip. Ada sehelai kertas putih dilipat empat. Aku pun mengeluarkan kertas tersebut. Aku lihat tiada juga barang lain di dalam kantung tersebut. Tanganku terketar-ketar dan menarik nafas panjang untukku mengurangkan panik sebelum membuka lipatan kertas tersebut.
Aku stres! Aku tiada teman. Mari, apa tunggu lagi bertemanlah denganku yang kesepian ini…Aku merindui cerita-ceritamu…Setulus ikhlas daripada: Samsiah, temanmu penghuni bilik 244. Semakin kuat bau sengatan menusuk ke hidungku. Tegak berdiri bulu-bulu romaku. Di depan lensa mataku, kelibat Samsiah pun muncul bertentangan dengan mukaku! Mak! ayah! Tolong Mymyn! Dadaku pun turun naik secara luar biasa. Kemudiannya, dia terbang di sekeliling bilikku dengan rambutnya yang panjang mengurai sehingga ke paras punggung. Sepantas kilat. Mula menangis teresak-esak dan mengilai tawa. Bajunya serba putih. Tidak ubah seperti pertemuan kami beberapa hari lepas. Belum sempat aku memusingkan tombol pintu untuk meloloskan diri dari kekeliruan ini. Ubat yang kutelan mula mengkhayalkanku… Aku pun…