KUCHING: Kisah kehilangan wang dalam akaun bank akibat perbuatan ‘scammer’, bukan kes baharu namun semakin berleluasa dengan melibatkan jutaan ringgit.
Kehilangan RM1 juta dalam akaun bank seorang peniaga berjumlah RM1 juta dengan hanya menjawab panggilan berdurasi 14 saat pada Ahad lalu, mengejutkan ramai pihak yang semakin bimbang dengan tahap keselamatan perbankan secara dalam talian di Malaysia.
Ekoran kejadian hilang duit RM1 juta itu, mangsa, Lee dan isterinya pada sidang media bersama Pembantu Khas Chong Chieng Jen, Michael Kong, dan Pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Sim Kiat Leng sebentar tadi berkata pada Ahad lalu, Lee menerima panggilan sekitar 3.00 petang mendakwa dari pos laju dan meminta OTP bank daripadanya.
Lee sebagai ahli perniagaan menyedari OTP tiada kaitan dengan pos laju, lalu bertindak untuk menamatkan panggilan berkenaan.
Kong berkata selepas panggilan itu, Lee tergerak hati untuk menyemak akaunnya dan mendapati RM1 juta telah dikeluarkan daripada akaun Maybanknya tanpa kebenaran dan, atau kebenarannya.
Menurut rekod banknya, duit berjumlah RM1 juta tersebut telah dipindahkan kepada Celcom Sdn Bhd.
“Semalam selepas mendapati wang hasil titik peluhnya dipindahkan tanpa kelulusan dan, atau kebenarannya, Lee terus menghubungi untuk membuat aduan kepada bank dan laporan polis.
“Pagi ini, kami menemani Encik Lee ke Maybank untuk membuat tindakan susulan mengenai aduannya yang dibuat semalam,” kata Kong.
Kong menggesa kerajaan untuk bertindak segera ke atas kes ini memandangkan melibatkan jumlah yang besar dan bukan pertama kali berlaku dan mohon bank bertanggungjawab ke atas kerugian yang disebabkan oleh penipuan ini.
“Sehingga ke hari ini juga, sehingga ke saat ini juga, berlakunya kes sepeti ini melibatkan jumlah wang yang lagi besar, dipindahkan atau dicuri daripada akaun pemegang, namun masih tidak ada maklum balas daripada Menteri Kewangan terhadap penyelesaian isu ini.
“Saya merujuk kepada perjumpaan Chong Chieng Jen berhubung isu ini yang dibangkitkannya minggu lalu di Parlimen, satu lagi kes pemindahan wang tanpa kebenaran daripada akaun seorang pemegang akaun berlaku dan kali ini RM1 juta.
Pada masa sama, kami akan membantu Lee berhubung dengan Celcom untuk mengesan wang itu dan mengembalikan kepadanya,” tambahnya.
Kong menegaskan bahawa ini bukan kes di mana pemegang akaun bank telah memuat turun beberapa perisian yang dihantar kepadanya, namun menerusi panggilan telefon kepadanya, RM1 juta dalam akaun banknya juga dapat diakses dan dipindahkan ke akaun orang lain yang tidak beliau ketahui.
“Bank sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk menyimpan simpanan kita. Sekarang, nampaknya bank pun tidak selamat, maka di mana lagi kita rakyat biasa boleh menyimpan simpanan kita?
“Ia adalah salah satu tugas asas kerajaan untuk melindungi harta rakyat dan dengan itu, memandangkan kesan serius dan implikasi penipuan sebegini, saya amat berharap kerajaan bertindak segera mengenai perkara ini,” katanya.
Chong Chieng Jen yang kini berada di Parlimen juga berjanji akan membangkitkan perkara ini untuk tindakan segera oleh kerajaan.
Kong juga menggesa Maybank untuk memberikan penjelasan yang pantas mengenai transaksi melibatkan jumlah besar itu boleh berlaku? RM1 juta telah dipindahkan daripada akaun bank Lee menerusi dua transaksi bernilai RM500,000 setiap transaksi. Tiada OTP atau pemberitahuan dihantar kepada Lee.
Tambahan pula, Kong menegaskan bahawa jika seseorang mengeluarkan wang tunai RM20,000 dari akaun banknya di kaunter, kebanyakan bank pada masa kini akan memerlukan pemegang akaun mengisi borang dan menjawab senarai soalan yang mewajarkan pengeluaran RM20,000 dan jika pengeluaran RM20,000 pun menyusahkan, bagaimana dua pengeluaran sebanyak RM500,000 setiap satu boleh berlaku dalam beberapa minit?
Michael berkata, dia dan Sim akan terus membantu Lee untuk mendapatkan semula wangnya dari Maybank.
Oleh Connie Chieng