KUCHING: Siapa sangka pertemuan seorang anak istimewa, Missclyen Roland, 2 tahun ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli di Kampung Penan Muslim, Bintulu sempena Kembara Kenali Borneo di Sarawak baru-baru ini bakal merubah kehidupan dirinya.
Difahamkan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengambil kanak-kanak istimewa itu sebagai anak angkat.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Roland Jimba, 48, tidak dapat menahan sebak ketika ditanya mengenai hal ini.
“Saya bersyukur dan dalam masa yang sama saya banyak yang bermain difikiran saya. Pertama, kegembiraan dalam hati saya tidak terkata dan bersyukur sangat kerana inilah kehidupan dalam sejarah keluarga anak saya akan menjadi kerabat diraja.
“Keduanya, apabila saya membaca balik surat dari Istana tersebut saya terkenangkan dia (Missclyen) akan menjadi anak angkat Permaisuri Agong saya terus sebak memikirkan bahawa saya akan berpisah dengan anak suatu hari nanti.
“Kasih sayang saya dan dia akan berjauhan sekiranya beliau kembali ke pangkuan Permaisuri Agong,” katanya.
Jelas Roland, beliau setakat ini belum menerima panggilan daripada pihak Istana berkenaan dengan hal ini.
“Semalam (31 Oktober) kami dipanggil ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bintulu untuk menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh Dato Sri Fatimah Abdullah dan pada majlis berkenaan Dato Sri membaca surat tersebut di khalayak ramai.
“Saya terus mengalirkan air mata kegembiraan dan bersyukur. Anak istimewa saya diambil untuk dijadikan anak angkat Permaisuri Agong,” ujarnya.
Missclyen dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH).
Antara intipati surat berkenaan adalah “Waba’dah Ehwal Beta berhasrat untuk mengambil Missclyen sebagai anak angkat. Dalam hubungan ini, Beta akan memberikan perbelanjaan melalui Tuan sebagai penjaga bagi penggunaan persekolahan Missclyen.
“Selain itu juga Beta akan menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit Hypertrichosis atau Sindrom Werewolf yang dihadapinya.
“Beta berharap dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban Tuan dan pacai pondok dalam menjaga dan membesarkan Missclyen,” tulis kenyataan dalam surat berkenaan yang bertarikh 10 Oktober.
Oleh Azreen Keria