MAMPUKAH Sarawak United FC menewaskan Terengganu FC, sekali gus layak ke pusingan separuh akhir dalam saingan TM Piala Malaysia malam ini?
Segala-galanya akan terjawab dalam 90 minit terakhir malam ini apabila pasukan kendalian E.Elavarasan itu melayan kunjungan skuad Penyu di Stadium UITM Shah Alam.
Ibarat misi hidup mati, anak-anak didik E.Elavarasan bukan sahaja perlu menewaskan pasukan pimpinan Nafuzi Zain, namun sekurang-kurangnya mereka perlu menang 1-0 untuk layak ke pusingan kalah mati seterusnya.
Kemenangan 2-1 Terengganu FC terhadap s Kenyalang Emas pada aksi pertama suku akhir baru-baru ini, bagaimanapun belum selamat buat skuad Penyu yang membenarkan Sarawak United membawa pulang satu jaringan berharga dari tempat lawan apabila beraksi pada suku akhir kedua, malam nanti.
Menurut Elavarasan, kekalahan tipis 1-2 kepada Terengganu FC baru-baru ini, memberi mesej berguna buatnya untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum perubahan dilakukan menjelang pertemuan hidup mati malam ini.
“Kekalahan pada aksi pertama suku akhir baru-baru ini memberi panduan berguna buat kami untuk membuat ‘kerja rumah’ bagi memperkemaskan lagi corak permainan sebelum pertemuan kedua nanti walaupun kita ketinggalan dengan satu jaringan.
“Oleh itu, kami tidak akan membenarkan Terengganu untuk ambil kesempatan, sebaliknya kami wajib menang bagi memastikan pasukan dapat ke pusingan separuh akhir,” katanya.
Elavarasan bagaimanapun mengharapkan tiga tonggak importnya yang cedera dapat kembali beraksi untuk membantu pasukan memburu tempat ke peringkat separuh akhir.
“Saya mengharapkan dua tonggak import yang masih cedera iaitu Lee Chang Hoon dan Taylor Regan yang tidak diturunkan pada aksi pertama baru-baru ini, dapat kembali bersama pasukan.
“Begitu juga dengan Sandro Da Silva yang mengalami kecederaan pada bahagian dada pada aksi pertama di Kuala Terengganu tempoh hari,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN