Misi hantar bekalan air bertukar operasi menyelamat lelaki lemas

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA penyelamat berjaya menyelamatkan seorang mangsa lelaki dewasa dipercayai lemas ketika beriadah bersama keluarganya di kawasan Layar, Betong, semalam. Foto APM Betong

BETONG: Misi penghantaran bekalan air bersih oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong ke sebuah rumah panjang di kawasan Layar bertukar menjadi operasi menyelamat apabila pasukan menerima maklumat mengenai seorang lelaki dewasa yang dipercayai lemas ketika beriadah bersama keluarganya.

Dalam kejadian itu, sebuah keluarga yang sedang menjalankan aktiviti perkhemahan dan riadah dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang dipercayai lemas.

Menurut kenyataan APM Daerah Betong, mangsa terlebih dahulu berjaya  diselamatkan oleh ahli keluarganya sebelum pasukan APM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di lokasi.

Setibanya pasukan penyelamat, mendapati mangsa memerlukan bantuan kecemasan segera.

Pasukan kemudian bertindak pantas memberikan bantuan awal pernafasan serta melakukan  (CPR) bagi membantu memulihkan pernafasan dan menstabilkan keadaan mangsa.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila mangsa kemudianya sedar dan keadaannya semakin stabil.

Mangsa seterusnya dipindahkan menggunakan kenderaan Hilux ATM untuk dibawa ke Klinik Mid Layar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pada masa sama, kenderaan LRV APM bertindak sebagai pengiring serta membuka laluan bagi memastikan proses penghantaran mangsa ke klinik berjalan lancar serta selamat.

ANGGOTA APM dan ATM memindahkan mangsa lelaki yang dipercayai lemas untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Mid-Layar, Betong, semalam. Foto APM Betong

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil serta masih menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Klinik Mid Layar.

Tindakan pantas ahli keluarga yang terlebih dahulu menyelamatkan mangsa, disusuli bantuan segera APM dan ATM, menjadi antara faktor penting yang membolehkan mangsa menerima rawatan kecemasan dalam tempoh kritikal.

Sehubungan itu, APM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti riadah dan perkhemahan, terutama di kawasan berhampiran sungai atau kawasan berair.

Orang ramai juga disaran memastikan keadaan persekitaran dipantau dan langkah keselamatan diambil sebelum dan sepanjang melakukan sebarang aktiviti di kawasan berisiko.

APM menegaskan komitmennya untuk terus memberikan khidmat menyelamat, bantuan kecemasan dan pengurusan bencana demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Oleh Adi Safarman