

SARATOK: Sebanyak enam buaya berjaya ditangkap menerusi operasi memburu dan menangkap buaya di sepanjang Sungai Krian dan Sungai Awik, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata operasi tersebut telah dijalankan selama 14 hari oleh pihak Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) bersama tujuh agensi yang lain.
“Hasil daripada operasi yang dijalankan sepanjang 14 hari itu, pihak penguatkuasa telah berjaya menangkap sebanyak enam reptilia ganas. Tangkapan pertama pada operasi tersebut berjaya menangkap buaya jantan sepanjang 4.2 meter (m) dengan berat 800 kilogram (kg).
“Selepas itu, tangkapan kedua pula berjaya menangkap buaya katak betina sepanjang 2.7 m dengan 400 kg, dan tangkapan ketiga buaya katak jantan sepanjang 4.1 m seberat 800 kg.
“Tangkapan keempat, buaya katak jantan sepanjang 4.4 m seberat satu tan, manakala tangkapan kelima buaya katak jantan sepanjang 4.6 m dan seberat 1.5 tan dan tangkapan keenam buaya katak jantan juga sepanjang 4.6 m dan seberat 1.5 tan,” katanya semasa dihubungi pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka pada Mesyuarat Operasi Pengurangan Populasi Buaya di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, hari ini.
Mengikut data yang diterima oleh pihak SFC, hasil daripada tinjauan operasi tersebut telah mendapati bahawa jumlah populasi buaya yang ada di Sungai Krian adalah sebanyak 62 melibatkan dewasa 20 dan juvenil sebanyak 42.
“Saya difahamkan objektif operasi adalah meneruskan usaha pemulihan buaya liar, mengukuhkan keharmonian antara manusia dan buaya bagi menjamin keselamatan penduduk setempat, mengimbangi populasi dan sekali gus mengurangkan risiko ancaman buaya kepada manusia.
“Ia juga mengambil kira hasil daripada aduan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pagan serta aduan awam oleh penduduk setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak lapan agensi yang telah bekerjasama sepanjang operasi dijalankan selama tempoh 14 hari iaitu Pejabat Daerah Saratok, SFC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angakatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan juga Majlis Daerah Saratok.
OLEH ADI SAFARMAN