SKUAD Sri Aman bawah 25 tahun diharapkan menempa kejayaan dengan membawa pulang Piala Liga SSC/FAS ke ‘bumi Sri Aman’ pada musim ini.
Keinginan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis serta mengakui Sri Aman telah lama dahagakan piala kemenangan untuk diraikan.
“Saya harap skuad muda bawah 25 tahun pada musim ini akan menjulang nama Sri Aman, dengan membawa pulang kejayaan yang paling dinanti-nantikan penduduk di sini setelah sekian lama.
“Dengan pengurusan terbaik serta pemain yang diamanahkan oleh FASA pada kali ini, saya percaya hasrat untuk merealisasikan impian itu tidak mustahil akan jadi kenyataan pada musim ini,” katanya pada sesi perjumpaan bersama pihak pengurusan dan pemain Sri Aman bawah 25 tahun di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.
Harden yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata tidak mustahil impian itu dapat direalisasikan sekiranya mentaliti ingin menang diterapkan dalam diri setiap individu mewakili pasukan ini, namun dalam apa jua pertandingan pasti ada cabaran yang perlu dihadapi.
Beliau percaya aspek mentaliti untuk menjadi juara yang diterapkan oleh pemain yang diamanahkan adalah kunci utama yang akan mampu membantu mereka membawa pulang kejayaan pada pertandingan itu nanti.
“Saya mengingatkan setiap pemain skuad Sri Aman 2021 supaya mempunyai mentaliti untuk menjadi juara dan kemenangan dalam setiap perlawanan bagi memastikan kejayaan milik mereka.
“Kalau ada mentaliti untuk menang…InsyaAllah (kita boleh mencapai kemenangan). Jangan kita hidup ini berasa selesa, sebaliknya mesti sentiasa mahu berjaya.
“Tetapi kejayaan itu tidak datang secara percuma dan begitu sahaja melainkan dengan usaha, memberi segala perhatian, fokus, disiplin, kerja berpasukan dan saling membantu rakan-rakan lain dalam pasukan,” ujarnya.
Beliau berkata antara sebab sesebuah pasukan itu menyinar adalah keinginan kuat untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Dalam masa sama Harden yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu pengurusan yang baharu yang dikendalikan oleh Pengurus pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan akan menjalankan amanah yang diberikan ini, dengan memastikan skuad itu melangkah jauh pada kali ini.
“Penyertaan skuad Sri Aman pada kali ini agak tampak menarik apabila mendapat khidmat dua beradik kembar yang merupakan lagenda bola sepak Malaysia dan Sarawak, Ramos Sari dan Ramles Sari bersama Sufian Ibrahim yang akan mengemudi pasukan ini.
“Saya percaya dengan adanya barisan jurulatih berpengalaman ditambahkan lagi dengan pemain-pemain handalan yang dipilih mewakili pasukan ini, adalah tidak mustahil kita akan membawa pulang kejayaan sekaligus menjulang nama Sri Aman amnya dalam sukan bola sepak,” tegas beliau.
Turut hadir Timbalan Presiden FASA, Abdillah Majid, Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Kendim dan Pengurus pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Oleh ADI SAFARMAN