
BETONG: Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Kelab Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Layar, Kelab Belia Perkasa Layar dan Betong Excess telah melancarkan misi bantuan kebakaran Rumah Litong, Nanga Kesit, Lubok Antu hari ini.
Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Cecelia Tini Ajah berkata penubuhan misi tersebut adalah sebagai platform kepada orang ramai di Betong khususnya yang berminat untuk menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa.
“Penubuhan misi bantuan ini kita lancarkan sebagai salah satu platform untuk masyarakat di Betong ini khususnya yang ingin menyalurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa kebakaran di Rumah Panjang Litong, Nanga Kesit.
“Misi ini juga dapat memupuk sikap keprihatinan dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia di Betong terhadap mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, bagi mereka yang berminat menghulurkan bantuan dalam bentuk fizikal boleh berbuat demikian di Pejabat Pusat Khidmat Layar bermula esok sehingga 23 Mei dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Oleh Adi Safarman