
KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) telah menerima surat anugerah penyediaan perkhidmatan pajakan, operasi dan penyelenggaraan (O&M) bagi sebuah unit pengeluaran terapung (FPU) untuk projek pembangunan gas asli di Brunei daripada Petronas Carigali Brunei Ltd (PCBL).
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat maritim itu berkata tempoh kontrak adalah selama 12 tahun dengan PCBL memegang hak untuk melanjutkannya sehingga tiga tempoh tambahan masing-masing selama setahun.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Zahid Osman menyifatkan projek berkenaan sebagai satu pencapaian penting kerana menjadi penyertaan MISC ke pasaran luar pesisir Brunei.
“Projek ini merangkumi semangat strategi kemajuan penyampaian MISC yang dapat terus memperkukuh asas dengan aset berkualiti tinggi dan mampan, memberi prestasi boleh dipercayai serta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kami,” katanya.
FPU yang akan ditempatkan di kawasan luar pesisir Brunei, dijangka menyumbang kepada bekalan jangka panjang bahan mentah untuk sektor gas asli cecair (LNG) Brunei, menyokong komitmen eksport, pendapatan dan jaminan tenaga negara.
Kemudahan itu direka bentuk dengan kapasiti pengeluaran dan pemprosesan sebanyak 450 juta kaki padu standard gas sehari dan 1,170 tong kondensat sehari serta kapasiti penyimpanan sebanyak 300,000 tong bagi memastikan fleksibiliti operasi.- Bernama