
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) hari ini mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1446H di Sarawak ditetapkan pada RM7.50 seorang.
Pengumuman ini dibuat oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dalam Majlis Penyampaian Sumbangan MIS kepada masjid, surau, dan tanah perkuburan Islam di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.
Beliau menggesa seluruh umat Islam di Sarawak agar menunaikan zakat fitrah dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab.

“Zakat fitrah bukan sekadar kewajipan, tetapi juga satu bentuk kebersihan jiwa dan harta.
“Zakat juga dapat membantu golongan yang memerlukan agar dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.
Selain pengumuman kadar zakat, majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM4.53 juta kepada 1,652 masjid, surau dan tanah perkuburan Islam yang berdaftar di Sarawak yang bertujuan memperkasakan institusi Islam sebagai pusat pembangunan ummah.
Beliau turut menekankan kepentingan integriti dan ketelusan dalam pengurusan sumbangan serta dana zakat bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti Islam di Sarawak.
Pengumuman tersebut menjadi peringatan kepada umat Islam di Sarawak agar menunaikan zakat fitrah tepat pada masanya demi membantu golongan asnaf dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah