
KUCHING: Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) kini giat melaksanakan projek pembangunan lestari melalui penanaman sawit berskala kecil yang menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah di kawasan Wilayah Tengah Sarawak.
Menteri Perpaduan, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, projek ini memberi peluang kepada setiap isi rumah untuk mengusahakan ladang sawit kecil dengan keluasan awal yang dicadangkan sebanyak lima hektar.
Namun katanya, MiRRDA sedang mempertimbangkan untuk tidak mengehadkan keluasan tanah bagi setiap peserta, berdasarkan maklum balas dan perbincangan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Justeru, kita berharap melalui bantuan skim atau skim sawit ini, kita dapat meningkatkan pendapatan isi rumah setiap individu.
“Sasaran kita adalah tidak kurang daripada RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap isi rumah,” katanya ketika mengetuai delegasi MiRRDA mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada hari ini.
Pengerusi MiRRDA itu turut menjangkakan projek ini akan bermula seawal tahun hadapan, dengan perancangan dan visi yang sedang dimuktamadkan.
Tambahnya, Abang Johari telah menyatakan minat terhadap projek ini dan menggesa agar semua perancangan disiapkan segera agar pelaksanaan dapat dimulakan dengan segera.
Selain itu, Aaron memberitahu, MiRRDA turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya jaringan jalan raya dengan peruntukan RM1.1 bilion membina jalan raya baharu yang menghubungkan kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sebelum ini terpinggir.
“Daripada peruntukan sebanyak RM1.5 bilion yang kita ada, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembinaan dan pembesaran jalan raya.
“Jalan-jalan ini kebanyakannya merupakan laluan baharu yang menghubungkan kawasan-kawasan tanah NCR yang sebelum ini telah ditinggalkan, apabila kawasan tersebut di mana penduduknya ditempatkan semula di bawah Skim Penempatan Semula di bawah Rajang Area Security Command (Rascom) Development Agency,” katanya. -UKAS