
KUCHING: Bandar raya Miri dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Tinju Antarabangsa Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Miri dengan sasaran penyertaan 13 negara.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo, berkata kejohanan berprestij itu dirancang berlangsung pada Mei 2026, namun tarikh sebenar masih belum dimuktamadkan.
Menurut beliau, setakat ini penyertaan telah disahkan oleh petinju dari Filipina, Thailand, Sri Lanka, Singapura, Indonesia serta beberapa negeri di Malaysia.
“Kejohanan ini akan dianjurkan menerusi kerjasama SABA bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dato Rahman berkata, kejohanan itu akan menjadi platform penting bagi persediaan dan pendedahan atlet tinju Sarawak menjelang SUKMA Selangor yang dijadual berlangsung pada Ogos nanti.
“Ini peluang terbaik untuk atlet kita menimba pengalaman beraksi dalam kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa sekali gus mengasah kemahiran dan ketahanan mental mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran kejohanan tersebut dijangka memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan tempatan menerusi kehadiran atlet dan pelawat luar ke Miri.
Sehubungan itu, beliau menyeru sokongan badan korporat dan sektor swasta, khususnya di Miri, bagi membantu SABA merealisasikan penganjuran kejohanan berkenaan.
Mengulas persiapan ke SUKMA Selangor, Dato Rahman berkata SABA merancang menghantar atlet yang disenarai pendek ke Indonesia dan Filipina bagi menjalani program pendedahan intensif.
Katanya, program di Indonesia akan diadakan pada Jun di Pontianak dan Jakarta, sebelum diteruskan di Manila, Filipina selama sebulan pada Julai, sebelum kontinjen bertolak ke Selangor.
“Senarai penuh atlet akan dimuktamadkan selepas Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV nanti.
“Kita akan memilih sembilan atlet lelaki dan tiga atlet wanita untuk membawa cabaran Sarawak, dengan beberapa atlet dari SUKMA 2024 dijangka dikekalkan,” katanya.