
MIRI: Miri memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi kebakaran terbuka menerusi pemeteraian Manual Bantuan Bersama Kecemasan Kebakaran Terbuka Miri (MOBEMA) dalam satu majlis yang berlangsung di sini, petang tadi.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, langkah itu tepat pada masanya susulan peningkatan risiko kebakaran terbuka akibat keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Menurutnya, peralihan Monsun Timur Laut serta fenomena El Nino telah menyebabkan taburan hujan lebih rendah, suhu lebih tinggi dan tempoh kering lebih panjang, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan belukar.

“Zon utara Sarawak mencatatkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi bagi tempoh 15 hingga 31 Mac lalu, dengan Miri merekodkan jumlah kes paling banyak berbanding kawasan lain.
“Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk satu mekanisme tindak balas kecemasan yang lebih tersusun, pantas dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Manual Bantuan Bersama Kecemasan Kebakaran Terbuka Miri (MOBEMA) di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Lee menjelaskan, MOBEMA merupakan inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak khususnya Zon Miri dalam usaha menangani kes kebakaran terbuka secara lebih efektif.
Katanya, organisasi sukarela itu melibatkan penyertaan syarikat pemilik tanah, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan lain bagi menyelaras bantuan kecemasan secara bersama.
“MOBEMA berfungsi mempromosikan bantuan kecemasan bersama, menyediakan sokongan tenaga kerja dan logistik, menyelaras penggunaan sumber serta melaksanakan latihan bersama mengikut pelbagai senario,” jelasnya.
Tambah beliau, konsep bantuan bersama amat penting kerana kejayaan operasi bergantung kepada koordinasi sumber manusia, aset pemadaman, komunikasi lapangan serta sokongan teknikal semua pihak terlibat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa MOBEMA tidak akan mengambil alih peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBB) Miri, sebaliknya bertindak sebagai pasukan sokongan awal dalam usaha memadam kebakaran terbuka.
“Ini amat penting terutama di kawasan luas atau sukar diakses jentera bomba bagi mengelakkan kebakaran merebak menjadi lebih besar,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, khususnya dalam musim panas dan kering ketika ini.
“Pencegahan sentiasa lebih baik daripada pemadaman. Kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan pemain industri amat diperlukan bagi memastikan keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau berharap penandatanganan MOBEMA itu menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh daya tahan bandar Miri dalam menghadapi risiko kebakaran terbuka serta kecemasan berkaitan pada masa hadapan.
Oleh Liong Chai Ling